Saturday, December 3, 2022

Mereka yang masih sokong Mukhriz boleh keluar Umno

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Anggota Umno yang masih menyokong Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, ibarat gunting dalam lipatan.

Golongan ini menurut  Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Seri Mohd Johari Baharom tidak perlu berada dalam Umno kerana kehadiran mereka hanya menyebabkan perpecahan dalam kalangan anggota lain.

Ujarnya, anggota Umno boleh melupakan pemimpin Mukhriz dan memberi tumpuan untuk mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, sebelum ini ramai yang keluar Umno apabila menyokong kepimpinan Umno yang keluar parti dengan menubuhkan parti baharu seperti Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun akhirnya kembali kepada Umno.

“Umno merupakan sebuah parti yang kukuh dan sebagai anggota Umno kita akan pertahankan kepimpinan kita yang bersilih ganti bagi memastikan parti yang memperjuangkan bangsa Melayu terus utuh pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, di sini semalam.

Beliau berkata,  Umno tidak menghalang anggotanya keluar parti disebabkan rasa simpati terhadap Mukhriz dengan menyokong parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Johari berkata ini kerana sekiranya anggota parti yang menyokong Mukhriz dihalang daripada keluar parti berkemungkinan mereka ini akan menjadi duri dalam daging yang mana mereka akan menyalurkan pelbagai maklumat sulit berkaitan Umno.

Beliau berkata Umno tidak mahu mereka terbabit menjadi ejen kepada parti lain yang akan merosak dan memporak-perandakan keharmonian sesama anggota dan kepimpinan parti.

Katanya krisis yang berlaku dalam parti itu tidak mematahkan semangat perjuangan anggota parti yang ditunjangi Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

“Kita mesti patuh kepada pemimpin yang dilantik… sama seperti kita mempertahankan Tun Mahathir suatu ketika dahulu ketika Umno dilanda krisis besar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri selama 30 tahun,” katanya seperti dipetik Malaysia Dateline. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru