Wednesday, June 29, 2022

Bidayuh mahu Datuk untuk Pandelela

Secara Rawak

KUCHING: Wajarakah ratu terjun negara Pandelela Rinong dianugerahkan gelaran Datuk atas kejayaannya menyumbang pingat perak di Sukan Olimpik Rio?

Persoalan itu menjadi perdebatan hangat di akhbar tempatan Sarawak, serta media sosial ketika etnik Bidayuh termasuk pemimpin mereka merayu supaya atlet berusia 23 tahun tersebut dianugerahkan gelaran berkenaan atas pencapaiannya dalam sukan itu.

Malah pemimpin etnik itu menepis kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Masing dalam sebuah akhbar tempatan, yang menyebut Pandelela tidak diberikan gelaran Datuk, namun kerajaan memainkan peranan lebih penting membantunya dalam latihan termasuk penyertaan di pentas antarabangsa.

Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Datuk Ik Pahon Joyik memberitahu Bernama beliau menyokong penuh dan berdoa Pandelela, atlet daripada etnik Bidayuh dari Kampung Jugan di daerah Bau akan diberikan gelaran itu.

“Jika ikon sukan seperti Datuk Lee Chong Wei (badminton) dan Datuk Nicol David (skuasy) dianugerahkan Datuk, kenapa tidak untuk Pandelela? Beliau juga layak mendapatkannya,” kata Pahon.

Sementara itu, satu kumpulan dalam aplikasi WhatsApp yang menamakan mereka sebagai Pergerakan Komuniti Bidayuh, dengan 300 anggota kebanyakan golongan profesional daripada etnik berkenaan, juga menentang kenyataan Masing.

Seorang lagi pemimpin Bidayuh yang terkemuka iaitu Presiden Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA) Datuk Peter Minos berkata beliau berpendapat Pandelela layak mendapat anugerah itu, sama seperti Chong Wei yang memenangi pingat perak Olimpik dan Nicol sebagai juara dunia sukan bukan acara Olimpik.

“Pandelela sememangnya layak dan sebarang ganjaran atau kemudahan yang ditawarkan kepada penerjun adalah satu isu yang berasingan sama sekali.

“Beliau layak tanpa mengira umur atau faktor lain. Walaupun jika saya bukan daripada etnik Bidayuh, saya akan berikan pandangan yang sama kerana apa yang layak untuk seorang rakyat Malaysia, dia sememangnya layak mendapatkannya tanpa perlu dikaburi dengan perkara lain.

“Apabila Pandelela menang emas di Sukan Komanwel New Delhi 2010 dan gangsa Sukan Olimpik 2012, ramai yang menyatakan beliau masih terlalu muda untuk mendapat gelaran Datuk.

“Beliau sudah membawa kejayaan dan membanggakan Sarawak, dengan menjadi atlet wanita pertama negara memenangi pingat di Sukan Olimpik.

“Jadi, saya tertanya-tanya pada umur berapakah beliau layak mendapat anugerah itu,” katanya.

Pada awal pagi Rabu lepas, Pandelela dan gandingannya, Cheong Jun Hoong memenangi pingat perak acara 10 meter platform seirama, pingat pertama kontinjen negara di Sukan Olimpik Rio. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru