Monday, August 8, 2022

Thailand digegar 11 bom di lima wilayah, empat mangsa maut

Secara Rawak

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 11 ledakan bom berlaku di lima wilayah Thailand hari ini dan semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya empat mangsa dan mencederakan 36 yang lain, lapor pihak berkuasa Thailand.

Menurut Polis Thailand, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini, dan tidak dapat dipastikan ia adalah angkara siapa, mahupun bukti yang boleh mengaitkannya dengan keganasan antarabangsa.

“Insiden ini berbeza dengan aktiviti keganasan antarabangsa dan ia lebih kepada perbuatan sabotaj oleh pemisah tempatan, di kawasan-kawasan dan wilayah terpilih kata jurucakap polis, Mejar Jeneral Piyapan Pingmuang.

Letupan ini berlaku menjelang setahun pengeboman Erawan Shrine yang membunuh 20 mangsa serta lima hari selepas negara itu mengundi untuk perlembagaan baharu. Bagaimanpun Pingmuang berkata, pengeboman itu tidak mempunyai kaitan dengan pengeboman Erawan.

Siri pengeboman ini dikatakan bermula pada jam 3.00 petang semalam di wilayah Trang, selatan Thailand yang mengorbankan seorang lelaki dan mencederakan enam yang lain.

Dua lagi bom meledak di Kota Pelancongan Hua Hin, membabitkan sebuah bar, Johny’s 56 sekitar jam 10.15 malam dan Rain Tree Spa sekitar jam 11 malam.

Seorang wanita yang bekerja di kedai makanan layan diri terbunuh manakala 21 lagi cedera. Ini termasuk pelancong rakyat Jerman, Belanda, Itali dan Austria.

Menurut pegawai kanan polis, Leftenan Kolonel Samoer Yoosumran, bom-bom ini ditanam di dalam pasu-pasu bunga berhampiran sasaran.

Lapan serangan lain berlangsung di lima wilayah, pada pagi tadi. Antara lokasi serangan termasuklah di Hua Hin, Surat Thani, Trang, Phang-nga dan Phuket.

“Dua bom yang meledak di Phuket sekitar jam 7.45 dan 8.45 pagi melibatkan kawasan tumpuan pelancong di Pantai Patong dan Jalan Bang La,” kata Ketua Polis Wilayah Phuket, Mejar Jeneral Theerapol Thipcharoen.

Di bandar Surat Thani , dua letupan meledak pada jam 8.01 dan 8.30 pagi pada kadar jarak 200 meter di antara kedua-duanya. Letupan pertama mengorbankan seorang wanita pekerja perbandaran dan mencederakan tiga yang lain.

Dua butir bom turut meledak di pasar Bang Miang di wilayah Phang-nga sekitar jam 9.00 pagi namun tiada kecederaan dilaporkan.

Letupan kedua pula berlaku di Hua Hin, dengan dua bom diletakkan di dalam pasu bunga dan meletup sekitar jam 9.00 dan 9.05 pagi, berhampiran menara jam yang menjadi mercu tanda bandar itu.

“Kita (polis) sedang mengetatkan prosedur keselamatan termasuk mengadakan sekatan jalan dan memeriksa beg setiap individu yang melewati sekatan tersebut,” kata Yoosumran.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak dalam status facebooknya terkejut dengan kejadian itu dan merakamkan takziah kepada rakyat Thailand.

Perbuatan ini katanya, amat terkutuk dan pihak berkuasa Malaysia sedang memantau situasi, biarpun tiada laporan yang mengatakan rakyat Malaysia terlibat setakat ini.

“Malaysia terutamanya Polis Diraja Malaysia bersedia untuk menghulurkan bantuan dan bekerjasama dari aspek maklumat risikan kepada negara jiran kita (Thailand) apabila dikehendaki,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru