Tuesday, August 16, 2022

Nik Abduh: Tak salah Pas dan Umno bersatu

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Siapa kata salah bagi Pas dan Umno untuk bersatu atau bekerjasama?

NIK_ABDUH_PASBagi Ketua Pemuda Pas Pusat Nik Mohd Abduh Nik Aziz, tiada salahnya kedua-dua parti itu berbuat demikian bagi menyokong pindaan Rang Undang-undang (RUU) 355 jika MCA dan DAP bersatu menentang akta tersebut.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Pas kini meletakkan harapan kepada Umno yang menyokong pindaan RUU355 walaupun dahulunya menentang.

“Kini, pada masa MCA dan DAP bersatu menentang, harapan adalah pada kelibat Umno yang dulunya menentang, tetapi kini turut bersama menyokong RUU355 ini,”  kata beliau dalam catatan di Facebook.

“Ia adalah berita baik yang ditunggu-tunggu. Kalau DAP dan MCA boleh bersatu, apa salah Pas dan Umno bersatu juga dalam isu yang sama,”katanya.

Nik Abduh berkata, jika ada Ahli Parlimen bukan Islam turut menyokong, maka ia adalah bonus besar buat penyatuan dan kesejahteraan negara yang wajar dirayakan juga.

“Seperti saya tekankan di atas, sebagaimana Umno memerlukan masa untuk memahami, MCA dan DAP lagi-lagilah memerlukan masa,” ujarnya.

Pas, menurut beliau, sentiasa mencadangkan dialog dan perbincangan yang sejahtera dan terbuka.

Secara mudah, menurut Nik Abduh, kedua-dua parti dominasi bukan Islam itu mempunyai dua matlamat yang sama iaitu memastikan berkembangnya arus sekular yang menolak peranan agama dalam politik negara dan keduanya, saling berebut undi non muslim.

“Dengan membesarkan isu pelaksanaan hukum hudud melalui RUU355 ini, mereka cuba menggambarkan masa depan Malaysia yang gelap jika ia diluluskan,” tambahnya.

Tegas beliau juga, pemerkasaan sistem Islam yang menyeluruh dalam negara asalnya adalah perjuangan Pas yang tidak dikongsi oleh mana-mana parti politik sebelum ini.

Beliau berkata, dalam sistem perundangan Islam yang diimplementasikan melalui mahkamah syariah, titik-titik kelemahan adalah amat ketara.

Pas katanya, sentiasa menyeru kepada islah yang menyeluruh dan RUU355 adalah sebahagian daripadanya.

“Tujuan adalah jelas. Ia agar mahkamah syariah menjadi sebahagian daripada institusi dalam negara yang mendidik umat Islam agar hidup berguna sebagai hamba Allah dan menjadi warga negara yang baik.

“Hukuman agama nilainya adalah pada keberkesanan dan kejayaan mendidik dan mencegah kejahatan,” tambahnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru