Tuesday, August 16, 2022

Mengapa MCA begitu kurang ajar, kata Perkasa

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Perkasa menzahirkan kehairanannya mengapa MCA dan Persatuan Hokkien masih bertegas mahu terus menentang Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 yang diusulkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sedangkan Rang Undang-undang ini hanya melibatkan orang Islam dan bukannya undang-undang hudud.

Persatuan Hokkien dilaporkan akan  memungut sejuta tanda tangan bagi membantah usaha murni umat Islam ini.

“Apakah penjelasan demi penjelasan yang diberikan kepada parti parti komponen Barisan Nasional (BN) mengenai perkara ini masih belum cukup memahamkan mereka? Kenapa MCA begitu kurang ajar membuat tuduhan yang tidak berasas mengenai AKTA 355 ini,” kata Perkasa dalam satu kenyataan.

Setiausaa Agung MCA Datuk Ong Ka Chuan berkata, MCA tidak akan  menerima kenyataan bahawa Rang Undang-undang Abdul Hadi itu adalah semata-mata bertujuan untuk memperluaskan kuasa hukuman Mahkamah Syariah dan tidak ada kena-mengena dengan Enakmen Hudud Kelantan.

Pengerusi Biro hal Ehwal Islam (BiHalim) Dr Amini Amir Abdullah berkata, Perkasa  juga membantah apa yang pernah dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Sri Liow Tiong Lai bahawa Rang Undang-undang itu merupakan taktik  pintu belakang yang licik untuk mengaburi pelaksanaan enakmen hudud PAS dalam negara ini.

Kata Amini, apa yang berlaku ialah, pihak kerajaan Malaysia memberikan laluan untuk memperbaiki Akta 355 ini agar ia lebih relevan dengan perkembangan dan tuntutan semasa serta melibatkan umat Islam sahaja, manakala bukan Islam sama sekali tidak berkaitan.

Katanya: “Sikap jahat MCA yang mengapi-apikan perasaan orang Cina dan mengeksploitasi Persatuan Hokkien untuk menghalang pindaan akta ini boleh dilihat berbaur hasutan dan ini juga boleh dilihat mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.”

Menurut beliau, kemungkinan akhirnya akan berlaku pertembungan kepentingan umat Islam dan puak-puak Cina MCA dan Persatuan Hokkien yang membawa ketidakharmonian hubungan antara kaum dalam negara ini.

Perkasa katanya,  memberi amaran kepada MCA dan Persatuan Hokkien yang diperkudakan oleh MCA agar menarik balik sebarang usaha untuk menghalang penambahbaikan Akta 355.

“Perkasa juga memberi amaran agar parti parti komponen BN yang lain dan semua pihak agar tidak mengeruhkan suasana atau mencurah minyak ke dalam api,” ujarnya.

Datuk Seri Ong juga menegaskan “Pasal 8 (1) memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata.

Kenyataan itu menambah,  asas pembinaan negara untuk kaum dan kepercayaan yang berbeza adalah berdasarkan perpaduan dan keharmonian negara.

“Perlu ada satu undang-undang yang adil, saksama, konsisten dan seragam yang memenuhi keperluan penguatkuasaan dan hukuman. keputusan kehakiman dan hukuman yang akan dijatuhkan mestilah adil dan sama rata,” tambahnya.

Kata kenyataan itu lagi, orang Islam melihat bahawa Mahkamah Syariah perlu ditambah baik melalui AKTA 355, sedangkan Mahkamah Sivil langsung tidak diusik. Apatah lagi penubuhan Mahkamah Syariah adalah berteraskan hakikat bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan.

“Jadi, kenapa pihak MCA berasa bimbang dan risau? Apakah mereka ini buta perlembagaan dan buta sejarah pembinaan negara ini?,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru