Tiga maut Perodua Alza-Axia bertembung di Sibuluh, Bau

0
209

BAU: Tiga lelaki termasuk dua warganegara Indonesia maut setelah kenderaan Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan Perodua Axia berhampiran Kampung Sibuluh, Jalan Bau-Lundu petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, ketika kejadian, kenderaan Alza yang dinaiki mereka dan seorang lagi lelaki sedang mengarah ke arah Lundu sebelum bertembung dengan kenderaan Axia dari arah bertentangan.

“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan Perodua Alza berputar sebelum terbalik, menyebabkan penumpangnya tersepit.

Kata Farhan, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 5.09 petang semalam dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan yang tiba di lokasi 10 minit kemudian mendapati kemalangan tersebut melibatkan enam mangsa, dengan empat lelaki di dalam Alza dan dua lagi dalam kenderaan Axia.

“Dua penumpang dan pemandu Alza telah pun meninggal dunia ketika itu manakala seorang lagi penumpang cedera.

“Pemandu dan penumpang Produa Axia turut mengalami kecederaan ringan.

Kata Farhan, pihaknya mengambil masa lebih satu setengah jam untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit dengan mangsa terakhir berjaya dikeluarkan sekitar 6.50 petang, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.

“Tiga mangsa yang cedera ringan pula mendapat rawatan awal oleh pasukan paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Bau,” katanya.

Hasil siasatan awal, mangsa yang maut katanya, kemudian dikenal pasti sebagai Weley Gitin (pemandu), seorang rakyat Malaysia manakala dua penumpang malang dikenal pasti sebagai Mulyanto Sahri dan Isa Joni, kedua-duanya warganegara Indonesia.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis, katanya lagi. – Sarawakvoice.com