Wednesday, June 29, 2022

Sarawak tuai 84 emas untuk rangkul juara keseluruhan Sukan Parampiliad ke-18

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak muncul juara keseluruhan Sukan Parampiliad 2016 apabila mencatat 84 pungutan pingat emas, 63 perak dan 73 gangsa sebaik temasya lima hari itu berakhir semalam.

Tempat kedua dimenangi Johor yang merangkul 35 emas, 25 perak dan 15 gangsa manakala Terengganu di kedudukan ketiga setelah mengumpul 30 emas, 24 perak dan 19 gangsa.

Kejayaan ini begitu bermakna bagi Sarawak kerana ia dimenangi ketika negeri itu menjadi tuan rumah untuk kali kedua.

Majlis penutupan rasminya telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin malam tadi di Stadium Perpaduan, Petra Jaya dekat sini.

Dalam ucapannya, Khairy menegaskan komitmen kerajaan untuk mempromosikan pembangunan sukan paralimpik secara menyeluruh bagi memberi peluang kepada para atlet kurang upaya untuk bergiat aktif dalam sukan yang diminati.

“Setiap individu di negara ini mempunyai hak untuk bersukan sama ada yang berbentuk riadah, kesihatan mahupun pertandingan.

“Kerana itulah Kementerian Belia dan Sukan sentiasa merancang program yang dinamik, agar dapat memacu pembangunan sukan paralimpik hingga ke peringkat antarabangsa.

Buktinya katanya, seramai 16 atlet para senior negara akan menyertai Sukan Paralimpik Rio di Brazil, bermula 7 hingga 18 September depan dan KBS yakin, atlet-atlet ini akan dapat  mengharumkan nama negara.

Mengulas temasya Sukan Parampiliad 2016, Khairy menyifatkan kejohanan ini menjadi platform asas untuk atlet-atlet muda membuktikan bakat dan kebolehan mereka untuk mewakili negara, seterusnya  diserap ke program sukan berprestasi tinggi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institusi Sukan Negara (ISN).

“Atlet-atlet ini akan menjadi pelapis dalam kita menyediakan kesinambungan atlet-atlet negara pada masa depan,” tambahnya lagi.

Pada majlis penutupan semalam, atlet renang dari Pulau Pinang, Yoong Chung Wei, 21 tahun, mengulangi pencapaiannya pada 2014 di Perlis apabila diumum olahragawan kejohanan, manakala olahragawati Sukan Parampiliad 2016 dimenangi atlet renang Selangor, Lim Carmen, 16 tahun. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru