Wednesday, June 29, 2022

Harga Pas lebih daripada RM90 juta, kata pemimpin Pas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan apalah sangat RM90 juta dan menduduki Putrajaya jika dibandingkan dengan reda Allah.

Pesuruhjaya Pas negeri Pahang Rosli Abdul Jabbar berkata, tidak berbaloi RM90 juta itu dengan pengorbanan ahli.

“Apalah sangat RM90 juta dan Putrajaya jika dibandingkan dengan reda Allah,” katanya.

“RM90 juta itu bukan bandingan langsung, semua ahli PAS tak pandang semua itu, kecuali orang yang diresapi hatinya dengan hasutan syaitan supaya menjual perjuangannya,” katanya .

Menurut Rosli, Pas tidak terliur pun dengan RM90 juta itu, sebagaimana PAS tidak terliur dengan Putrajaya yang tidak melaksanakan Islam.

“Kalau dapat duit tidak dapat reda Allah, semua tidak bernilai disisi Allah. Reda Allah bukan boleh jual beli, bukan boleh tebus dengan harta,” ujarnya.

Katanya, tidak ada orang berjuang dalam Pas kerana nak duit, kalau ada pun tak lama akan duduk dalam Pas, lambat laun akan lari juga tinggalkan Pas sebab yang ditunggu tidak kunjung tiba.

“Dalam Pas ada orang kaya dan ada orang miskin, orang yang kaya biasanya masuk Pas setelah dia kaya, bukan dia kaya kerana dapat keuntungan daripada Pas, malahan harta kekayaannya dihabiskan untuk perjuangan Pas,” tambahnya

Katanya: “Orang miskin pun begitu, bukan dia miskin setelah masuk Pas, biasanya memang dia dah sedia miskin, namun walaupun dia tahu masuk Pas tak jadi kaya, namun dia tetap juga berjuang dan berkorban apa yang mampu bersama Pas kerana dalam Pas banyak peluang untuk menabung bagi merebut kekayaan akhirat.”

Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, Pas sudah membayar dengan harga yang tidak ternilai, demi membeli tawaran daripada Allah, bukan sahaja duit malahan nyawa demi perjuangan Islamnya dan kerana menuntut reda-Nya.

“Reda Allah bukan boleh ditinggal kemudian, mesti didahulukan dalam semua urusan sebelum membuat keputusan dan wajib seiring dengan amalan, bodoh sangat kalau orang kata “kita cari Putrajaya dulu, reda kita cari kemudian”, kerana amalan itu bernilai disisi Allah apabila tujuannya kerana menuntut Mardhatillah,” jelasnya.

Beliau berkata, jangan ingat reda itu boleh dibeli setelah ada duit banyak, reda bukan barangan di pasar raya, bila ada duit boleh beli,  dan reda juga bukan macam kuasa, apabila memerintah baru dapatkan redha.

“Reda itu mesti bersama dengan semua tindak tanduk kita, tidak kira kita sudah memerintah atau belum memerintah. Kalau dapat RM1 tapi bersama reda Allah jauh lebih bernilai daripada RM90 juta atau Putrajaya yang tiada bersamanya keredhaan Ilahi. Redha tidak boleh dibeli walaupun memiliki lebih daripada RM90 juta,” katanya lagi.

Sebab itu, menurut beliau,  Pas tidak peduli semua fitnah cerca apabila mempertahankan prinsipnya.

“Reda Allah itu bersama Islam, itulah prinsip perjuangan Pas, sejak dulu hingga kini, tidak ada nilai langsung RM90 juta itu jika mahu ditukarkan dengan prinsip yang Pas pertahankan selama ini,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru