Tuesday, June 28, 2022

DAP sokong Bank Makanan Kerajaan Negeri Johor

Secara Rawak

JOHOR BAHRU: DAP Johor menyambut baik pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa kerajaan negeri merancang untuk mengadakan kempen ‘Bank  Makanan’ seperti yang dilaksanakan oleh parti itu sejak April lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, walaupun berlainan fahaman politik, DAP menyokong sebarang usaha kerajaan negeri yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, terutama dari golongan kurang berkemampuan.

Katanya, Kerajaan harus melengkapkan jaringan keselamatan sosial dan perlindungan kepada golongan pekerja serta memberi jaminan dari segi dasar supaya golongan bawahan tidak lagi mengalami kesulitan sehingga terpaksa berlapar.

“Hampir setiap hari, pejabat saya menerima aduan daripada penduduk untuk memohon bantuan setelah ditimpa pelbagai masalah di luar jangkaan seperti kemalangan jalan raya atau dilanda penyakit,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Hong Pin, kerajaan negeri memainkan peranan bagi melaksanakan pelbagai dasar untuk membasmi kemiskinan.

Sejak menjadi Adun di Johor, akuinya, beliau berdepan  banyak kes kemiskinan sehinggakan sesetengah keluarga terpaksa hidup dalam kelaparan.

Hong Pin merupakan salah seorang tenaga utama  program Bank Makanan di Johor.

Beliau berkata, sejak bulan Ogos, DAP berjaya membantu 35 keluarga kurang berkemampuan dan mengedarkan lebih 100 set makanan dengan bantuan dan sumbangan orang ramai.

Jelasnya, program itu dilancarkan bagi memberi bantuan sementara kepada keluarga yang dicengkam kemiskinan agar dapat mengurangkan beban mereka sementara mencari jalan penyelesaian jangka panjang bagi masalah tersebut. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru