Bersabar, tunggu kelulusan pendaftaran sebelum daftarkan ahli  parti Bersatu

KUALA LUMPUR: Setiausaha Penaja Bersatu Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, sebarang pendaftaran keahlian untuk menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hendaklah menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terlebih dahulu.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa sebarang pendaftaran keahlian hendaklah dilakukan setelah Bersatu mendapat kelulusan daripada RoS,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Arahan itu dikeluarkan kerana terdapat pihak tertentu yang mengeluarkan borang keahlian selepas beberapa jam berita permohonan pendaftaran parti baharu itu dibuat di pejabat RoS pada 9 Ogos lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  telah  mengemukakan permohonan rasmi kepada RoS bagi penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Paerti ini difahamkan akan dianggotai oleh Melayu dan Bumiputera bagi menentang Umno dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, dalam keghairahan orang ramai menjadi ahli, ramai pula yang telah mengeluarkan borang keahlian untuk menyertai Bersatu tanpa arahan daripada pihak penaja.

Kamarul Azman berkata, sambutan terhadap Bersatu amat menakjubkan dan menjadi sebutan masyarakat dari segenap lapisan masyarakat.

“Dalam tempoh beberapa jam sahaja kita telah dihujani dengan ribuan permohonan untuk menjadi ahli Bersatu,” ujarnya.

Kamarul Azman yang juga Pengerusi Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) memohon semua pihak supaya bersabar.

“Bagi mengelakkan sebarang halangan, kekeliruan dan kekangan terhadap kelulusan Bersatu, saya ingin menyeru agar semua pihak bersabar dan jangan mengeluarkan sebarang borang keahlian sendiri yang akan mengelirukan orang-ramai.

“Yakinlah kita mempunyai borang keahlian sendiri dan sebaik sahaja kita mendapat kelulusan daripada ROS, borang ini akan diedarkan sama ada diisi secara atas talian ataupun secara manual melalui borang,” jelasnya. – Sarawakvoice.com