Thursday, December 1, 2022

Bahasa yang kian pupus di Sarawak, Sabah

Secara Rawak

Mengikut ramalan  Michael Krauss,  daripada  6,784   bahasa yang dikenal pasti oleh Ethnologue, 50 peratus daripadanya, iaitu 3,000 bahasa  akan pupus dalam  1,200 bulan!

Dalam tempoh dua kurun terakhir, semakin banyak bahasa yang maut. Bahasa sebagai sesuatu yang hidup, tidak mati secara alamiah. Bahasa tidak mati dengan sendirinya. Selagi ada penutur sesuatu bahasa, selagi itulah bahasa berkenaan dilafazkan.

Memang ada bahasa yang mati mengejut umpama manusia diserang sakit jantung, dan ada juga yang mati secara perlahan-lahan bagai terkena jangkitan AIDS.

Hari ini, mengikut Ethnologue, sekitar 515 bahasa berisiko hampir pupus. Dari segi kawasan, sebanyak 210 bahasa yang hampir pupus terdapat di Pasifik, 170 di Amerika, 78 di Asia, 46 di Afrika, dan 12 di Eropah. Bahasa itu adalah umpama pejuang yang bertarung dengan maut.  

Seyogia diingat, ada daripada populasi etnik di Sabah dan Sarawak kurang daripada 500 orang. Kebanyakan rakyat di negara ini hanya tahu beberapa etnik sahaja yang ada di kedua-dua negeri terbabit. Kebanyakan etnik begitu asing kepada mereka. Pernahkah anda mendengar etnik Kagayan, Kimaragang, Makiang, Lobu, Lotud, Makiang, Minokok, Paitan, Sembakung, Serudung, Sinabu, Tengara, Tidung atau Ubian di Sabah?

Mungkin juga anda tidak pernah mendengar etnik dan bahasa Balau, Bukitan, Lahanan, Lisum, Longkiput, Lun Dayeh, Remun, Saban, Sekapan, Sihan, Tabun, Tagal atau Ukit? Setiap bahasa berkenaan dituturkan oleh etnik berkenaan atau etnik-etnik lain yang berinteraksi aktif dengan etnik itu di kawasan pedalaman.

Bahasa etnik sukar berkembang kecuali dalam lingkungan penduduk yang mendiami kawasan etnik terbabit. Bahasa etnik amat kaya dengan hal-hal berkaitan adat resam, kegiatan harian, dan flora persekitaran.

bahasa yang pupus

Justeru, apabila bahasa berkenaan mati, maka hal-hal lain yang berkaitan dengan penuturnya juga akan turut mati. Ia tidak mungkin dapat dikembalikan. Manusia yang mati ada kubur dan nisan, bahasa yang mati mungkin tidak meninggalkan jejak kecuali jika didokumentasikan. Amatlah malang jika perkara sedemikian menimpa ratusan bahasa etnik Orang Asli dan peribumi di Sabah dan Sarawak.

Dengan penghijrahan ke bandar dan  kahwin campur yang pesat antara pelbagai etnik, bahasa, seperti juga etnik berkenaan berdepan kemungkinan untuk pupus suatu hari nanti. Malah, ada daripada etnik di Sabah dan Sarawak pupus ekoran daripada fenomena kahwin campur dan amalan memeluk agama Islam.

Ada daripada etnik berkenaan kini dikenali sebagai Melayu. Mereka tidak lagi menuturkan bahasa asal; sebaliknya menuturkan bahasa Melayu dan mengamalkan budaya berkenaan. Apabila sesuatu etnik pupus, maka yang akan pupus bersamanya ialah bahasa etnik berkenaan. Bahasa mati atau pupus apabila tidak ada lagi orang yang menuturkannya secara aktif.

Sesuatu bahasa dikatakan berisiko tinggi untuk pupus apabila hanya dituturkan kurang daripada seratus ribu orang. Sesuai dengan hakikat bahawa bahasa ialah sistem komunikasi, maka jika alat tersebut jarang-jarang digunakan atau tidak lagi digunakan, potensinya untuk mati adalah amat besar. Dengan itu, kebanyakan bahasa etnik di Sabah dan Sarawak berdepan potensi untuk pupus jika tidak terdapat usaha untuk menyelamatkannya kerana rata-rata jumlah penutur adalah kurang daripada seratus ribu.

Sebahagian kepupusan bahasa di dunia dikatakan berpunca daripada peluasan penggunan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa global. Adakah peluasan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik di negara ini menjadi ancaman kepada bahasa etnik, khususnya bahasa etnik di Sabah dan Sarawak? Adakah bahasa Melayu dapat menjadi bahasa pembunuh?  Atau penutur bahasa peribumi sendiri sebenarnya yang menjadi pembunuh bahasa mereka sendiri.              

Bahasa Kelabit,  bahasa kaum minoriti Kelabit dan dipercayai digunakan sejak 200 hingga 300 tahun  lalu di Sarawak misalnya,  kini hanya dituturkan kira-kira 6,000 orang Kelabit yang berasal dari tanah tinggi Bario di utara Sarawak. Namun,  bahasa Kelabit berhadapan dengan ancaman kepupusan kerana bilangan penuturnya semakin mengecil terutamanya dalam kalangan generasi muda. Bahasa yang pupus biasanya memberi kesan terhadap kebudayaan sesuatu komuniti, nilai, memori kolektif,  identiti termasuk cara hidup yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Kini, dilaporkan  tidak sampai 1,000 penduduk Kelabit tinggal di Bario dan majoriti mereka ialah generasi tua. Hanya generasi tua yang tinggal di kampung fasih bertutur dalam bahasa Kelabit, manakala majoriti generasi muda Kelabit yang membesar  di bandar jarang-jarang dan kurang fasih menggunakan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian.

Yang menentukan hidup matinya sesuatu bahasa itu ialah penutur bahasa itu sendiri. Jika penuturnya tidak lagi prihatin dan mengendahkan bahasa etnik sendiri, tunggulah ketikanya untuk bahasa itu hilang daripada peta bahasa dunia. Jika generasi muda tidak lagi berminat atau berpeluang untuk bertutur dalam bahasa etnik, ada kemungkinan bahasa etnik berkenaan akan mati.  – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru