Wednesday, June 29, 2022

Adakah Menteri Pendidikan hanya mahu jaga hati bukan Islam?, tanya Pas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Lajnah Pendidikan (LajPen) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) amat kesal dengan laporan yang menyatakan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berhasrat untuk memastikan sekolah kebangsaan tidak menjadi terlalu Islamik susulan beberapa permintaan daripada golongan bukan Islam.

Pengerusi LajPen DMPM Nurul Faiza Musa  berkata, jangan kerana memenuhi permintaan segelintir  pihak, pihak kementerian mengambil sikap tolak ansur yang keterlaluan, seterusnya menjadikan Islam ditolak beransur-ansur secara halus.

Katanya, LajPen DMPM mendesak agar Menteri Pendidikan agar memberi penjelasan maksud sebenar ungkapan ‘terlalu Islamik’  seperti yang dinyatakan.

“Sekiranya istilah itu tidak dapat dijelaskan dengan baik, maka ia benar-benar menunjukkan Menteri tersebut hanya ingin menjaga hati bukan Islam, bukan bertindak menjaga agama yang dianutinya dan seluruh umat Islam khusus di negara ini,” katanya.

“Atau apakah Menteri Pendidikan sekadar ingin menjaga hati orang bukan Islam supaya undi mereka tidak lari daripada Barisan Nasional?,” ujarnya.

Kementerian Pendidikan menjelaskan isu sama ada sesebuah sekolah kebangsaan (SK) itu Islamik atau tidak Islamik tidak pernah timbul. Mahdzir Khalid berkata, sistem yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan adalah berlandaskan dasar yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

Menteri Pendidikan menjelaskan, beliau membuat kenyataan yang bermaksud Sekolah Kebangsaan tidak akan menjadi medan untuk menyebarkan fahaman Islam yang melampau seperti IS dan ajaran sesat lain yang menjurus kepada keganasan.

Menurut Nurul Faiza, dalam keadaan pelbagai pihak mempertikaikan hasil daripada Sistem Pendidikan Negara, malah menggesa agar sistem ini diperhalusi dan diperbaiki kembali dengan menjadikannya bersepadu, secara tiba-tiba, Menteri Pendidikan mengundur jauh ke belakang dengan menolak elemen kekuatan ajaran Islam sebagai cara hidup dan solusi kepada kebejatan sosial.

“Rakyat mahu memahami apa yang ada dalam kotak fikiran dan hati Menteri Pendidikan yang bertegas ingin memastikan sekolah kebangsaan tidak menjadi terlalu Islamik. Apatah lagi ianya berkait dengan isu doa semasa perhimpunan. Apakah doa dilihat terlalu Islamik oleh Menteri tersebut?,” tambahnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru