SERIAN: Seramai 66 pesalah imigresen warganegara Indonesia hari ini dijatuhi hukuman penjara serentak selama tiga bulan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Majistret Marutin Pagan menjatuhkan hukuman tersebut dalam satu perbicaraan di Mahkamah Khas PATI yang bersidang di Kem Semuja, dekat sini.

Dalam pendakwaan pagi tadi, sebanyak 25 kes hasil tangkapan Bahagian Penguat kuasa Imigresen Kuching telah disabitkan oleh Pegawai Imigresen Tinggi (PIT) Ibrahim Zaini dan Pegawai Imigresen (PI) Awang Erewin.

Seramai 21 tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah ketika berada di negeri ini.

Manakala 23 tertuduh lagi didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana telah tinggal secara melebihi tempoh pas yang diberikan.

Selebihnya seramai 22 tertuduh didakwa dibawah seksyen 56 (1)(l) kerana menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki endosmen palsu dalam dokumen perjalanan dalam pemilikannya.

Kesemua tertuduh yang telah disabitkan kesalahan telah dihantar ke Penjara Pusat Puncak Borneo untuk menjalani hukuman. – Sarawakvoice.com