PUTRAJAYA: Beberapa unit baharu akan ditubuhkan dalam Polis Diraja Malaysia bagi meningkatkan pemantauan keselamatan berkaitan ancaman teroris dan jenayah keganasan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, keadaan ini berpunca daripada meningkatnya ancaman militan kebelakangan ini, selain modus operandi mereka yang melakukan serangan di lokasi awam.

“Ancaman Daesh ini adalah benar. Kita tidak mempunyai sebarang agenda tersirat berhubung perkara serius seperti ini,” tegasnya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

13958231_764990700306176_3581388656674294790_o

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri sebelum itu menghadiri sesi taklimat selama dua jam oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Senior Asisten Komisoner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah (Siasatan dan Undang-undang) Bukit Aman, Deputi Komisoner Datuk Law Hong Soon berhubung situasi terkini memerangi ancaman tersebut.

Untuk tujuan tersebut katanya, beberapa jawatan baharu akan diwujudkan manakala aset-aset keselamatan dan prasarana pengukuhan keselamatan akan dinaik taraf.

Sementara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, seorang imam berusia 39 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana memiliki buku serta empat keping gambar dalam telefon bimbitnya yang menjurus kepada Daesh dan Jemaah Islamiyah (JI).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman kepada Anuar Ab Rawi bermula tarikh dia ditangkap pada 22 Mac lalu kerana memiliki buku ‘Misteri Pasukan Panji Hitam (Rahsia Thaifah Manahurah – kumpulan elit pasukan Islam’ di Kuala Terengganu)

Beliau dituduh di bawah Seksyen 130 J(b)(1)(a) Kanun Keseksaan kerana menyokong aktiviti teroris, yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice.com