Wednesday, June 29, 2022

Seperti S’wak, Sabah tuntut hak daripada Kerajaan Pusat, bezanya tidak bising seperti (anjing) menyalak bukit

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Mengelak menggunakan pendekatan yang dikatakan secara “bising-bising” atau secara publisiti yang belum mendatangkan sebarang hasil, Kerajaan Negeri Sabah mengakui mereka juga menuntut haknya daripada Kerajaan Pusat.

Menurut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Sabah menuntut haknya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata menggunakan pendekatan yang selama ini jelas berjaya.

“Yang lebih baik, yang lebih manis ia disokong oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya

Kejayaan pendekatan tersebut mampu terbukti membawa banyak kebaikan kepada rakyat dan Negeri Sabah.

Menurut laporan Bernama, Musa berkata: “Kita mengambil cara yang mungkin tidak perlu kita terlalu uar-uarkan pendekatan itu.”

“Kalau boleh, berbincang secara lebih berkesan dalam mengemukakan cadangan,” kata Musa ketika menjawab soalan Datuk Seri Wilfred Bumburing (Bebas-Tamparuli) semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Musa memberi contoh, dalam hal cari gali minyak di bahagian darat Sabah, Kerajaan Negeri melalui pendekatan tersendiri berjaya memperoleh 30 peratus ekuiti dalam penerokaan minyak itu berbanding tiada ekuiti sebelum ini.

Pendekatan berbincang dan diplomasi itu ternyata lebih berkesan.

Kerajaan Negeri sedia memberi hak penggalian kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sekiranya penerokaan minyak berkenaan dilakukan di kawasan laut dalam yang memerlukan kos tinggi.

Bagaimanapun, bagi penggalian yang dijalankan di darat, maka Sabah berhak mendapat 30 peratus ekuiti.

“Sekarang ini, daripada kosong, kini kita mempunyai 30 peratus ikuiti dalam on-shore exploration. Ini tidak pernah berlaku.

“Inilah yang saya katakan tidak payahlah buat bising, seperti (anjing) menyalak bukit,” kata Musa.

Menurut Musa sebelum, ini kepentingan penerokaan darat berkenaan diambil oleh syarikat gergasi, namun perbincangan diplomasi Kerajaan Negeri yang disokong fakta kukuh akhirnya Sabah mendapat haknya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru