KUALA LUMPUR: Ketika Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendaftar parti baharu Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pendaftar Pertubuhan ROS, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
Tun Mahathir diletakkan di bawah pemerhatian doktor untuk beberapa hari bagi merawat jangkitan kuman di dadanya.
Walaupun berada di wad biasa, namun lawatan terhadap beliau tidak terbuka kepada umum dan hanya terhad kepada ahli keluarga sahaja.
Kali terakhir Tun Mahathir masuk IJN ialah pada 16 November 2013.
Tun Mahathir, 91 disebut sebagai bakal menjadi pengerusi Bersatu yang didaftarkan oleh Muhyidin.
Bersatu terbuka kepada Bumiputera termasuk Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sarawak dan Sabah seperti takrifan perlembagaan Malaysia, perlembagaan negeri dan undang-undang negara.
Selain itu, keahlian parti terbuka warganegara Malaysia yang lain sebagai ahli bersekutu.
Mereka mempunyai hak yang sama dengan ahli biasa kecuali mengundi atau bertanding
mana-mana jawatan dalam parti.
Muhyiddin sendiri dikatakan menjadi presiden parti.
Antara kumpulan awal yang menjadi ahli parti itu ialah mantan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan mantan pemimpin Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin.
Ahli lain ialah pemimpin kumpulan belia, Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, anak mantan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid. – Sarawakvoice.com