Wednesday, June 29, 2022

Laporan Sarawak Report bermotif jahat, kata Pas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pas Kedah menyifatkan laporan Sarawak Report bahawa pemimpin Pas menerima RM90 juta daripada Umno berdasarkan ‘kecurigaan yang meluas’ jelas bermotif jahat.

Pesuruhjaya Pas negeri Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi  berkata,  perbuatan tersebut dilakukan oleh sebuah media yang boleh disifatkan sebagai menyalahgunaan medium.

“Malah, ia nyata bertentangan dengan etika profesionalisma entiti media. Oleh itu, ia layak dilihat sebagai satu jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Pas Negeri Kedah berpendirian bahawa sesuatu isu diketengahkan kepada masyarakat hendaklah berpaksikan maklumat yang tepat dan tidak semborono, kerana pemberitaan palsu akan menjadikan sesebuah organisasi itu terpalit dengan perkara tidak benar.

“Mutakhir ini dilihat terdapat pihak-pihak tertentu menjadikan fitnah sebagai permainan, suka-suka atau olok-olok serta gurauan,” katanya sambil menambah, perkara seperti ini mesti segera dibendung kerana ia mengait integriti, maruah, reputasi bahkan keselamatan individu atau pihak lain.

“Ia berpotensi besar mengundang ancaman dan keburukan terhadap pihak yang difitnah, sedangkan pemfitnah bersikap sewenangnya. Sehubungan itu kami merasakan wajar perbuatan seperti itu dihadapkan ke pengadilan undang-undang,” tambahnya.

Maka, kata beliau, Pas negeri Kedah menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mengemukakan saman ke atas Sarawak Report atas laporan yang telah mencetuskan tuduhan buruk kepada parti Islam itu, sekali gus merendahkan etika moral warga media. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru