MIRI: Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting berkata beliau gembira kerajaan negeri Sarawak telah mengambil langkah membekukan dengan serta-merta permit kerja baharu bagi pekerja Petronas dari luar Sarawak.
Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau berkata, sudah sampailah ketikanya keutamaan diberikan kepada anak Sarawak bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit, memandangkan minyak di negeri ini ialah sumber asli milik Sarawak.
Katanya, Shell Sarawak banyak memberi pekerjaan kepada anak Sarawak ketika minyak mulai diterokai di Miri pada 1910.
“Selama ini kita telah membuktikan bahawa anak Sarawak mampu melakukannya, jadi tidak ada sebab anak Sarawak tidak dapat melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan Negeri Sarawak dilaporkan melaksanakan moratorium serta-merta bagi semua permohonan baharu permit kerja Petronas melibatkan pekerja dari luar Sarawak untuk berkhidmat dengan operasi syarikat di negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Ugah Embas dipetik sebagai berkata keputusan oleh Kerajaan Negeri itu adalah bagi memastikan Petronas bersikap adil serta telus ketika berurusan dengan Sarawak berhubung operasi syarikat itu di sana.
Menurut Ting, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah memperjuangkan untuk mendapatkan kontrak bernilai RM2.1 bilion untuk diberi kepada Sarawak.
Beliau berkata orang ramai mahu tahu nilai projek yang telah diserahkan kepada syarikat tempatan.
Beliau juga berharap projek terbabit bukan hanya diberi kepada syarikat yang disenarai di bursa saham, tetapi kepada syarikat kecil dan sederhana bagi membantu perkembangan ekonomi di Miri dan Bintulu. – Sarawakvoice.com