KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyeru penyokong perlawanan antara pasukan JDT melawan Perak pada malam ini agar menjaga tingkah laku mereka.
Tunku Ismail mengingatkan para penyokong agar tidak terpengaruh dengan pihak mungkin ingin menimbulkan kekecohan sepanjang perlawanan pada malam ini.
“Saya tidak mahu ada berlakunya pergaduhan. Ingatlah bahawa ada pihak yang akan sentiasa mencari kesalahan kita,” katanya.
Tunku Ismail berkata, para penyokong JDT perlu menjaga tingkah laku mereka memandangkan pasukan ini merupakan satu-satunya kelab yang memiliki stadium dengan mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Ini berikutan kita mengikuti segala piawaian yang telah ditetapkan seperti mempunyai Marshall sendiri selain fasiliti terbaik dari semua aspek,” katanya menerusi catatan terkini dalam laman Facebook Johor Southern Tiger hari ini.
Beliau berkata, terdapat sesetengah pihak yang ingin mencari kesalahan kelab tersebut dan para penyokong tidak seharusnya memberikan peluang kepada mereka untuk melakukan tindakan sedemikian kepada JDT. – Sarawakvoice.com