Wednesday, June 29, 2022

Beku permit kerja baharu: Petronas prihatin terhadap moratorium kerajaan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING:  Petronas menzahirkan keprihatinannya terhadap keputusan kerajaan negeri menguatkuasakan moratorium terhadap  permohonan permit kerja baharu bagi pekerja bukan dari Sarawak untuk bekerja di negeri itu.

Petronas dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, keputusan itu mungkin didasarkan pada tanggapan tidak tepat bahawa pelan penstrukturan semula  syarikat minyak negara itu telah mendatangkan kesan tidak adil terhadap pekerja dari Sarawak.

“Sarawak  terus kekal sebagai negeri pelaburan utama bagi Petronas di mana keperluan terhadap tenaga kerja akan terus berkembang. Petronas menjangka kebanyakan tenaga kerja yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan tenaga kerja baharu adalah daripada anak Sarawak, seperti yang diamalkan sekarang ,” kata Petronas dalam satu kenyataan.

Kerajaan Negeri Sarawak dilaporkan  melaksanakan moratorium  serta-merta bagi semua permohonan baharu permit kerja Petronas membabitkan pekerja dari luar Sarawak untuk berkhidmat dengan operasi syarikat di negeri itu.

Uggah dipetik sebagai berkata keputusan oleh Kerajaan Negeri itu adalah bagi memastikan Petronas bersikap adil serta telus ketika berurusan dengan Sarawak berhubung operasi syarikat itu di sana.

Kenyataan itu menambah, beberapa jawatan juga dijangka akan disandang oleh kalangan pekerja berpengalaman yang mungkin melibatkan kalangan bukan rakyat Sarawak.

Petronas  berkata sokongan dan komitmen daripada semua pihak terbabit, termasuk kakitangan terlatih dan berkelayakan merupakan kunci kejayaan dalam penyampaian dan operasi projeknya di Sarawak.

Petronas juga memaklumkan telah mengadakan taklimat dengan pegawai kerajaan negeri pada pelbagai peringkat susulan langkah  pelaksanaan penstrukturan semula itu.

“Petronas akan meneruskan usaha komunikasi, termasuk dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berhubung kebimbangan Kerajaan Negeri, khususnya mengenai keperluan pekerja di Sarawak,” katanya.     

Jelasnya, sepertimana syarikat minyak dan gas di serata dunia, Petronas akan terus meneliti strategi perniagaan dan keperluan tenaga kerja bagi mempertingkatkan kecekapan dan kemampanannya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru