Wednesday, June 29, 2022

534 suspek diberkas di seluruh negara dalam Ops Cantas 2.0

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Selama empat hari bermula 6 Ogos lalu, Ops Cantas 2.0 yang digerakkan oleh Polis Diraja Malaysia berjaya melakukan sejumlah 534 tangkapan daripada sejumlah 13,195 pemeriksaan di seluruh negara.

Ponolong Pengarah Jabatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Roslee Chik berkata, Selangor mencatatkan tangkapan tertinggi membabitkan 271 individu, Negeri Sembilan (56), Johor (45) dan Kuala Lumpur (41).

Sarawak bagaimanapun belum mencatatkan kes tangkapan biarpun sebanyak 176 premis telah diperiksa dalam tempoh tersebut.

Menjelas lanjut, daripada jumlah tersebut, 69 individu yang ditangkap merupakan ahli kongsi gelap, dengan 21 daripadanya diberkas di Selangor, Pahang (11), Negeri Sembilan (8) dan Pulau Pinang (8).

“Tangkapan ini dilakukan selepas kita melakukan serbuan dan pemeriksaan di rumah, restoran dan pusat beli-belah selain mengadakan sekatan jalan raya.

“Hasil usaha ini juga, kita turut merampas 44 senjata termasuk pistol, parang, pisau, peluru dan menyita 19 kenderaan,”katanya dalam satu sidang media khas di Bukit Aman semalam.

Kata Roslee lagi, kesemua suspek yang dipercayai ahli kongsi gelap ditahan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) dan Rekod Kesalahan Lampau (RJ10).

Manakala dua suspek disiasat di bawah Akta Senjata Api 1971, manakala 95 lain atas pelbagai kes jenayah lain.

“Sebanyak 102 kertas siasatan telah dibuka,” katanya lagi.

Ops Cantas 2.0 diumumkan di Kuching oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berikutan berleluasanya kes tembakan secara terbuka di seluruh negara kebelakangan ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru