Tuesday, August 16, 2022

Hospital kerajaan perlu 16,000 katil

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16,000 lagi katil diperlukan di hospital kerajaan di seluruh negara terutama di Lembah Klang bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata Malaysia kini mempunyai nisbah 1.85 katil bagi 1,000 penduduk dan jumlah itu tidak mencapai standard nisbah antarabangsa 2.5 katil bagi 1,000 penduduk.

“Perbezaan nisbah ini menunjukkan keperluan katil sebanyak jumlah tersebut (16,000) dan kementerian menggalakkan prosedur penjagaaan harian kepada pesakit, iaitu rawatan sehari sahaja (bagi prosedur kesihatan ringkas) tanpa perlu bermalam di hospital,” katanya kpada pemberita selepas merasmikan Program Kecemerlangan Pengurusan Penjagaan Kesihatan Ke-3 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Dr Hilmi berkata jagaan harian melibatkan lebih 300 prosedur kesihatan yang boleh dibuat dalam jangka masa sehari dan ia menjimatkan penggunaan katil di hospital.

Sementara itu, Dr Azman berkata prosedur jagaan harian kini berjaya diaplikasikan di hospital kerajaan seluruh negara dan ia dilihat sebagai anjakan paradigma dalam sektor kesihatan.

“Contoh terbaik ialah kejayaan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh yang  mencapai standard operasi pembedahan seharian dalam prosedur ‘day care’ sebanyak 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata pengenalan ‘transit lounge’, iaitu tempat menunggu selepas pesakit dibenarkan keluar wad di hospital turut mengurangkan masalah ketiadaan katil bagi pesakit lain.

“Pesakit tidak perlu berada dalam wad sementara menunggu anggota keluarga sampai, mereka akan dipindahkan ke transit lounge’ dan ubat-ubatan turut akan dihantar kepada mereka,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru