SEPANG: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan penamatan kontrak Zainal Abidin Hassan sebagai ketua jurulatih Selangor mulai semalam bukan kerana faktor kewangan.

Azmin berkata penamatan serta-merta itu dibuat selepas mengambil kira prestasi keseluruhan pasukan The Red Giants yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.
Azmin yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata meskipun prestasi pasukan Selangor belum disifatkan merudum, namun tindakan segera perlu diambil demi kebaikan jangka panjang.
Beliau berkata, tindakan itu terpaksa diambil berdasarkan merit dan mengambil kira prestasi pasukan yang ditunjukkan pemain sejak awal musim.
“Inilah masalah sebenarnya, tindakan mesti diambil dan saya perlu lakukannya bagi pastikan prestasi pasukan dapat dikembalikan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini, hari ini.
FAS dilapor menamatkan kontrak Zainal Abidin dengan mengambil kira prestasi kurang memuaskan pasukan Selangor dalam beberapa perlawanan lalu.
Tempat Zainal dikatakan akan diambil alih oleh pembantunya K. Gunalan. – Sarawakvoice.com