Selama 5 penggal jadi Ahli Parlimen apa Shafie Apdal buat untuk tolong orang miskin?

Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Dr Muhammad Asri Mohd Ali

“Pengaruh Dato Seri Shafie Apdal hanya terhad di parlimen Semporna sahaja, tidak meliputi keseluruhan Sabah. Populariti Shafie tidak sama dengan Tun Mustapha atau Tun Sakaran Dandai, jangan kata nak menggugat Sabah, kedudukan beliau sendiri pun belum tentu survive selepas beliau keluar UMNO,”  demikian reaksi salah seorang pemimpin kanan UMNO Sabah ketika ditanya mengenai situasi Shafie Apdal semasa saya di Kota Kinabalu pada minggu lalu.

Awal bulan Julai, UMNO Bahagian Semporna hampir lumpuh apabila Shafie bersama-sama beberapa orang pengikut setianya berindak keluar daripada UMNO berikutan tidak puas hati dengan tindakan badan disiplin parti yang menggantungkan keahlian beliau.

Antara pemimpin bahagian yang mengikut jejak langkah beliau ialah YB Jaujan Sambakong (Naib Ketua Bahagian), Manis Muka Mohd Darah (Ketua Wanita Bahagian), dan Noor Azis Jamman (Ketua Pemuda Bahagian).

Antara pemimpin yang masih kekal bersama-sama UMNO bahagian Semporna sekarang ialah YB Datuk Seri Nasir Bin Sakaran (Timbalan Ketua Bahagian), Zakiah Kalipunya (Ketua Puteri Bahagian), YB Ramlee Marhabban (ADUN Bugaya) dan Razak Sakaran (Ketua Penerangan Bahagian). YB Datuk Nasir kini diberi tugas untuk memulihkan kembali UMNO bahagian Semporna.

Selepas meninggalkan UMNO, Shafie menolak pelawaan Tun  Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan  Muhkriz Mahathir untuk menyertai pati baharu yang bakal ditubuhkan sedikit masa lagi.

Beliau dilihat seperti mahu menumpukan perhatian menyatukan parti-parti pembangkang di Sabah. Soalnya, adakah beliau mempunyai kredibiliti untuk berbuat demikian?

Pada masa ini Shafie dilihat seperti mahu meninjau sokongan rakyat, khususnya Kadazan-Dusun-Murut (KDM) menerusi kehadirannya dalam beberapa siri himpunan yang dinamakan “Irau Rakyat” anjuran NGO yang bergelar KDM.

Tetapi masyarakat Kadazan secara majoriti masih bersama KDCA (Kadazan Dusun Cultural Association) dan PBS yang lebih lama berjasa kepada mereka.

Semasa berkunjung ke Semporna pada minggu lalu, penulis sempat berbual dengan beberapa orang pemimpin peringkat Bahagian dan cawangan UMNO di sana. Boleh dikatakan hampir semua pemimpin UMNO yang ditemui menyatakan rasa kesal terhadap apa yang telah berlaku.

Mohd Shafie ApdalFaham dengan perangai Shafie, mereka berpendapat Shafie tidak mungkin berundur semula. Namun begitu, ada antara mereka mendirikan solat hajat hampir setiap malam dengan harapan supaya Shafie kembali semula ke pangkuan UMNO.

Jika Shafie bertanding sebagai calon Bebas atau calon parti baharu di Parlimen Semporna dalam PRU akan datang,  peluang beliau untuk menang dikatakan masih tinggi kerana jasanya selama lima penggal yang lalu masih dikenang oleh pengundi.

Senario kedua, Shafie mungkin boleh dikalahkan sekiranya BN dapat menyusun gerak kerja lebih awal dan mempunyai calon  dalam yang disukai ramai. Mengikut mantan Ketua Pemuda UMNO (KPU) Semporna yang pernah menjadi mangsa politik dalaman Sahfie pada tahun 2008, “sehingga kini hanya Shafie sahaja yang bercakap dan mengkritik BN tetapi BN belum jawab lagi. Jika BN mula jawab isu-isu yang Shafie bangkitkan, ramai pengikut beliau akan kembali semula kepada BN.

“Contohnya, Shafie membangkitkan isu GST dan kemiskinan di Sabah. BN perlu jelaskan bahawa Shafie turut sama meluluskan pelaksanaan GST semasa beliau dalam kabinet. Isu kemiskinan,  di Semporna terdapat lebih kurang 30,000 penghuni rumah air, mereka termasuk dalam kategori miskin tegar yang berpendapatan kurang RM750 sebulan. Selama lima penggal menjadi ahli parlimen, apa Shafie buat untuk mengeluarkan golongan ini daripada kemiskinan?”.

Tindakan Shafie yang seperti mempertahankan kewujudan rumah air turut menimbulkan perasaan kurang senang bagi penduduk di sekitar pekan Semporna. Lazimnya penghuni rumah air menyambung bekalan air dan elektrik secara haram dan ini menyebabkan bekalan air dan elektrik sering terputus. Mengikut satu anggaran, hanya 30 peratus  penduduk rumah air di Semporna terdiri daripada warga tempatan. Selebihnya ialah pendatang haram dari negara jiran.

Pihak anggota keselamatan dikatakan tidak berani memasuki perkampungan air di sini. Dalam peristiwa pencerobohan Lahad Datu, salah satu insiden turut berlaku di perkampungan Simunul berhampiran dengan pekan Semporna.

Menurut mantan KPU itu lagi, mentaliti penduduk di Semporna dan Timur Sabah adalah bersama kerajaan. Keadaan kemiskinan menyebabkan mereka menaruh harapan kepada kerajaan supaya dapat membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan mereka. Dalam konteks ini, personaliti atau tokoh yang berada di luar kerajaan mungkin tidak mempunyai kelebihan untuk menang di Semporna. – Sarawakvoice.com