Sunday, June 26, 2022

Permainan teratur punca menang – jurulatih Pulau Pinang

Secara Rawak

KUCHING: “Ini baru satu pertempuran. Banyak lagi peperangan yang perlu dihadapi,” kata Nenad Bacina, jurulatih Pulau Pinang ketika diminta mengulas kejayaan pasukannya menjinakkan Sarawak 0-2 di halaman sendiri malam tadi.

ngap sayot vs pulau pinang-0001Enggan bercakap besar, Bacina berkata, kejayaan ini amat bermakna kerana pasukannya bermain cukup baik dan mengikut strategi yang dirancangkan.

“Inilah satu-satunya perlawanan yang kami bermain cukup teratur dan saya amat gembira dengannya.

“Para pemain berusaha lebih dalam permainan ini biarpun kami tahu ia merupakan perlawanan yang amat sukar,” katanya.

Menurutnya, pasukan lain yang pernah bermain di Stadium Negeri, seperti Johor Darul Ta’azim (JDT) juga berhadapan kesukaran dan saingan getir pasukan tuan rumah, tetapi anak-anak buahnya dapat meledakkan dua jaringan.

“Kami berpeluang menjaringkan lebih gol, pertahanan berkubu dengan baik dan para pemain begitu berdisiplin dan teratur …dan saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka. Mereka layak menerima keputusan ini,” kata jurulatih berusia 43 tahun yang sebelum ini pernah memimpin JDTII.

Kata Bacina lagi, beliau tidak mengharapkan lebih daripada pemainnya sebelum perlawanan bermula, sebaliknya mengharapkan mereka mengekalkan prestasi sebelum ini, ketika mereka beraksi menentang pasukan-pasukan yang kuat dan berada di atas takhta liga.

“Pesan saya kepada mereka, kalau kita mampu bermain baik menentang Selangor dan JDT, memenangi perlawanan menentang Kedah dan T-Team di tempat mereka sendiri, hari saya tidak akan meminta lebih daripada perlawanan yang terdahulu.

“Saya minta mereka mengekalkan disiplin taktikal, permainan berpasukan berbanding individu dan malam ini kita memperoleh keputusan ini,” jelasnya lagi.

Pulau Pinang menang dalam saingan di Stadium Negeri ini hasil jaringan Muhamad Faizal Mohd Ghazali pada minit ke-13 dan S Kumaahran pada minit ke-82.

Kata Bacina lagi, permainan malam ini didorong oleh kerjasama berpasukan yang tinggi dalam pasukan Pulau Pinang sendiri, terutamanya dalam melancarkan gerakan-gerakan ke kubu lawan.

Mengenai kedudukan Pulau Pinang yang kini semakin mengukuh di tangga kesembilan, Bacina berkata beliau tidak terganggu, kerana masih ada lima perlawanan yang perlu diharungi.

“Dari segi matematiknya, kita boleh berakhir di tangga keempat ke atas ataupun paling buruk dalam senarai kedua tercorot.

“Kami akan meraikan kemenangan ini dahulu pada hari ini dan esok, sebelum kembali mencatur strategi pada Isnin, kerana akan bertemu pasukan yang kuat, Kelantan.

“Selepas itu akan bertemu Perak, dan ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Bagaimanapun katanya, kemenangan ini memberikan keyakinan dan motivasi kepada pasukan itu untuk mengekalkan prestasi, seterusnya kekal dalam liga ada musim akan datang. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru