Tuesday, June 28, 2022

Parti komponen BN perlu guna kaedah baharu tambat hati rakyat

Secara Rawak

NIBONG TEBAL: Bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali Pulau Pinang daripada Pakatan Harapan, parti  komponennya di Pulau Pinang digesa melipatgandakan usaha dan melakukan pembaharuan bagi menambat hati rakyat.

Tugas itu tidak seharusnya hanya diserahkan kepada Umno, sebaliknya semua parti komponen hendaklah menggemblengkan tenaga dan usaha dengan mendekati para pengundi.

“Jangan biarkan Umno sahaja yang buat kerja, bangkit dan berusahalah bagi memastikan kemenangan milik BN pada PRU nanti,” kata Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kepada pemberita selepas  merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Nibong Tebal di sini semalam.

13923732_1231708176848859_6125572635723692498_o

Parti komponen BN, katanya, perlu  menggunakan pendekatan kerja yang baharu untuk memenangi undi. “Kaedah lama seperti penganjuran majlis makan-makan sudah tidak laku, kita kena buat kerja dan buat pembaharuan untuk dapatkan sokongan rakyat,” katanya.

Khairy berkata, fokus Umno adalah kepada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai majoriti kawasan Melayu.

Bagaimanapun, katanya, bagi memenangi kerusi lain  sokongan parti komponen amatlah penting.

Ketika ini BN menguasai 10 kerusi, DAP 19 kerusi, PKR 10 kerusi dan Pas 1 kerusi.

Beliau berharap parti-parti komponen lain dapat mencontohi Umno khususnya Pergerakan Wanita yang akan membuat banci dari rumah ke rumah untuk  mendekati dan memahami penduduk di kawasan terbabit.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, BN akan menggunakan kaedah baharu dalam mengenal pasti calon bagi menghadapi PRU ke-14.

Katanya, pemilihan calon untuk PRU nanti akan ditentukan penerimaan rakyat dan kaji selidik akan dibuat sebelum calon dipilih untuk  mewakili BN.

“Senarai nama yang dipilih oleh setiap bahagian akan ditapis dan diuji oleh pucuk pimpinan supaya calon itu bukan sekadar popular dalam kalangan anggota parti tetapi juga popular dalam kalangan rakyat kawasan,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru