Tuesday, June 28, 2022

Kanang ak Langkau: The Iban Warrior temui penonton 25 Ogos ini

Secara Rawak

Dalam sejarah Malaysia moden, nama Kanang anak Langkau sememangnya cukup tersohor.

Malah nama pahlawan Iban ini cukup diingati kerana keberanian dan ketangkasannya ketika menentang pengganas komunis pada era insurgensi.

Kisah hidup penerima Seri Pahlawan dari Karangan Manok, Nanga Meluan ini mula dikenali ramai apabila novel ‘Kanang: Cerita Seorang Pahlawan’ tulisan Maznan Noordin menemui khalayak pada 1987.

Sempena bulan kemerdekaan negara, bermula 25 Ogos ini, kisahnya akan diterjemah ke dalam bentuk filem.

Filem ‘Kanang ak Langkau: The Iban Warrior’ diarahkan oleh pengarah tersohor, Bade Azmi, dan diterbitkan oleh Tangan Seni Sdn Bhd dengan kerjasama FINAS.

Penerbitnya, Zainal Fikri ketika dihubungi berkata, pihaknya bersyukur projek filem tersebut berjaya disiapkan biarpun terlewat daripada jadual asal.

“Banyak cabaran dan halangan yang kita hadapi sebenarnya. Antaranya termasuklah kematian wira negara itu sendiri ketika filem ini dalam proses 50 peratus perancangan skrip.

Filem yang bakal menjadi rujukan penting sejarah negara ini akan menampilkan anak Kanang sendiri, Langgi yang akan melakonkan watak mendiang bapanya. Pelakon lain termasuklah Johan Asa’ari dan Adi Putra.

Filem ini telah menjalani penggambaran selama sebulan di Hutan Allaga di Taiping, selain lokasi-lokasi lain seperti Kem Taiping, Ipoh, Batang Ai dan Santubong.

“Saya berpuas hati dengan hasil filem ini biarpun bajetnya tidaklah terlalu besar.

kanang“Sokongan padu FINAS dan ATM sangat disanjung kerana tanpa mereka, projek filem ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya lagi.

Jelasnya, pihaknya gembira kerana pihak kerajaan bersetuju memilih tayangan filem ini sempena sambutan bulan kemerdekaan.

“Saya berharap rakyat Malaysia terutama generasi muda dapat mengambil inspirasi dan iktibar daripada kisah pengorbanan seorang anggota tentera yang bukan sahaja berjuang untuk negara, malah sanggup meninggalkan majlis perkahwinannya semata-mata panggilan operasi.

Pada Mac lalu, filem ini telah mengadakan tayangan khas untuk tetamu khas di Kuching dan antara yang hadir termasuklah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Kanang yang di akhir kehidupannya telah dianugerahkan gelaran Datuk dan menjadi Temenggong masyarakat Iban di kawasan Sri Aman, merupakan seorang yang cekal.

Anak kelima daripada enam adik-beradik yang ibu bapanya telah berpisah, dijaga oleh datuk dan neneknya.

Bersekolah hingga darjah tiga, Kanang menjalani kehidupan yang rencam, termasuk sebagai tukang masak, penoreh getah, dan mengangkut penumpang dengan menggunakan perahu berenjin.

Pada 21 April 1960, pemuda Iban ini tanpa sengaja telah berjaya dalam temu duga dan diterima menjadi anggota tentera sebagai Iban Tracker.

Kanang kemudian berkahwin dengan Helen Latai Intie dan dikurnia enam anak.

Meneruskan khidmatnya dengan Rejimen Renjer, Kanang dilantik sebagai anggota pengiring. Sebelum dinaikkan pangkat sebagai Lans Koperal pada 1 Januari 1966.

Pada bulan Mac 1973, dia berpindah ke kem Terendak Melaka, dan berkhidmat dalam Batalion Kelapan Rejimen Renjer. Di sini, beliau dinaikkan pangkat sebagai Ketua Seksyen.

Ketika menyertai Gerakan Pukat, di Hutan Tanah Hitam, Perak, Kanang telah mendapat cedera parah ketika bertempur. Akibat kecederaan tersebut, beliau tidak sedarkan diri dan terlantar di wad selama 14 bulan.

Banyak yang menyangka bahawa Kanang tidak akan hidup lama tetapi umurnya masih panjang. Pada tahun 1980, Kanang telah dianugerahi pingat Panglima Gagah Berani (PGB) sebagai mengenang jasa dan keberaniannya menentang pengganas komunis.

Pada tahun 1981 pula, Kanang dikurniai bintang keberanian Seri Pahlawan Gagah Perkusa (SP).

Kanang kemudian meneruskan khidmat sebagai jurulatih di Sekolah Tempur Pegawai Muda. Pada 1 Mei 1981, dia telah dinaikkan pangkat sebagai Staf Sarjan dan seterusnya menjadi Sarjan Mejar.

Pada 1 Oktober 1980, Kanang dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran II dan sebagai Pegawai Waran I pada 17 Ogos 1985.

Kanang kemudian bersara daripada perkhidmatan pada 30 Mei 1986.

Pada 24 September 2011, beliau menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak ‘Panglima Gemilang Bintang Kenyalang’ (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk.

Pada 3 Januari 2013 pula, Datuk Temenggong Kanang Langkau rebah semasa menonton televisyen di rumahnya di Sungai Apong, selepas mengadu sakit dada.

Segera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak, beliau kemudian diisytiharkan meninggal dunia pada jam 1.45 pagi akibat serangan jantung pada usia 68 tahun. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru