Friday, December 2, 2022

Isu ‘Pokemon-go’ bukan isu agama, Sarawak tidak akan keluarkan fatwa – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Pihak berkuasa agama negeri Sarawak tidak berhasrat untuk mengeluarkan fatwa mengenai aplikasi permainan “Pokemon-go” yang diharamkan oleh beberapa negeri di negara ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya sebaliknya akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (SKMM) untuk memantau dan mengambil tindakan sekiranya aktiviti itu mendatangkan kesan negatif terhadap umat Islam.

“Mungkin ada keadaan yang boleh memberi mudarat dalam permainan yang dikeluarkan oleh Nintendo ini.

“Tetapi ia bukan haram dari sudut agama, sebaliknya dari sudut ia akan memberi mudarat kepada para pemainnya.

Jadi bagi Sarawak katanya, pihaknya akan menyerahkan isu ini kepada pihak SKMM, kerana ia berkaitan dengan permainan video digital.

“Jika permainan ini mendatangkan kemudaratan , SKMM terpaksa mengambil tindakan undang-undanglah.

“Ini tidak ada kena-mengena dengan agama,” tegasnya lagi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Islam Sarawak di Kompleks Islam Sarawak di sini pagi tadi.

Beliau mempengerusikan mesyuarat itu sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio agama Islam di negeri ini.

Kenyataan Abang Johari ini menyokong kenyataan ADUN Jemoreng yang juga bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya, yang meminta kajian dilakukan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukum halal atau haram terhadap permainan tersebut.

Jelasnya, jika “Pokemon-go” diharamkan, maka permainan video yang lain seperti “Clash of Clan” juga perlu diharam sama, kerana ia juga melalaikan.

“Pokemon-go” mula memasuki Malaysia sejak beberapa hari lalu, dengan para pemainnya boleh memuat turun aplikasi permainan ini secara percuma. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru