Isu Petronas: “ Mun urang Sarawak dilepasnya, kak ya orang lain masok sitok…bekerja, sik fairlah!”

0
15

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini menegaskan bahawa tindakan kerajaan Sarawak membekukan permohonan baharu permit kerja kakitangan Petronas dari luar untuk berkhidmat di negeri ini merupakan tindakan yang wajar dan adil.

“Kita mendapat aduan dan maklumat bahawa mereka akan melakukan penstrukturan dan mengecilkan operasi syarikat, dan oleh itu mereka akan memberhentikan beberapa pegawai dan kakitangan.

“Tetapi pada masa yang sama kita dapati banyak orang luar yang sedang berkhidmat dengan syarikat tersebut di negeri ini.

Justeru itu kita berpendapat bahawa tidak adil untuk kita tidak memberi ruang kepada kakitangan-kakitangan syarikat itu daripada kalangan anak Sarawak yang mempunyai kebolehan dan kepakaran.

“Oleh yang demikian, Datuk Amar Douglas (Uggah) telah diminta untuk berhubung dengan pegawai kanan syarikat tersebut bagi mendapatkan butir dan maklumat lanjut mengenai jumlah kakitangan syarikat tersebut di negeri ini, serta bilangan mutakhir anak Sarawak yang bekerja untuk Petronas.

Pada masa yang sama katanya, permohonan baharu untuk permit kerja mereka yang berkhidmat untuk Petronas dari luar Sarawak dibekukan sehingga kerajaan negeri memperoleh maklumat tersebut.

“Tindakan tok adil. Mun urang Sarawak dilepasnya, kak ya orang lain masok sitok…bekerja, sik fairlah!”

“Jadi kalau ada anak Sarawak yang memiliki kebolehan dan patut meneruskan khidmat dengan Petronas, ia seharusnya diteruskan,” katanya lagi.

Beliau diminta mengulas tindakan kerajaan negeri melaksanakan moratorium dan pembekuan terhadap permohonan baharu permit kerja syarikat petroleum utama negara itu yang dikuat kuasa serta merta. – Sarawakvoice.com