Saturday, October 8, 2022

Empat pilihan bagi UMNO Terengganu selesaikan krisis kepemimpinan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, Umno di negeri Terengganu mempunyai empat pilihan bagi menangani krisis kepemimpinan dan politik negeri  itu yang kini kembali bergelora untuk memastikan kedudukan parti itu kekal memerintah.

Dr Syed Azman Syed Ahmad NawawiBeliau berkata, walaupun dengan kedudukan majoriti tipis yang ada pada Umno di iaitu 17 kerusi DUN manakala pembangkang 15 kerusi, krisis kepemimpinan berkenaan telah mengheret rakyat Terengganu dalam krisis yang tidak berkesudahan itu.

Menurut Dr Syed Azman walaupun UMNO masih mempunyai kedudukan  majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 17 ADUN, manakala pembangkang memiliki 15 kerusi, namun dengan perkembangan terbaharu ini, Umno/Barisan Nasional mempunyai beberapa pilihan.

Beliau berkata,  pilihan yang ada adalah Umno terus mempertahankan kepemimpinan Ahmad Razif  Abdul Rahman sebagai Menteri Besar sehingga pilihan raya Umum ke-14 yang akan datang; melantik Menteri Besar yang baharu; membentuk kerajaan perpaduan dengan parti pembangkang khususnya Pas atau membubarkan DUN dan diadakan pilihan raya Negeri.

Kemelut kepimpinan politik Terengganu kembali menjadi perhatian umum apabila bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said membuat cabaran terbuka terhadap Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman agar meletakkan jawatan sehingga mencetuskan khabar angin mengenai satu lagi pertukaran Menteri Besar.

“Dengan perkembangan terbaru ini, kedudukan UMNO sebagai parti yang memerintah di negeri Terengganu sekali lagi berada dalam keadaan terumbang-ambing,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada awal Mac lalu, Ahmad Said telah cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif di Dewan Undangan Negeri sehingga mencetuskan perdebatan besar mengenai kedudukan Menteri Besar di sisi perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Terengganu.

Katanya; “Bagi saya, walaupun dengan kedudukan majoriti tipis yang ada pada UMNO di DUN, apa pun keputusan yang bakal dibuat oleh pimpinan UMNO, kemelut dalaman kepimpinan mereka telah mengheret rakyat Terengganu didalam krisis yang tidak berkesudahan ini.”

Beliau berkata, rata-rata rakyat Terengganu mahu kemelut ini diselesaikan dengan segera kerana rata-rata rakyat awam sudah terlalu muak dengan sikap terlalu banyak ‘berpolitiking’ sedangkan rakyat kini dihimpit dengan tekanan kos kehidupan termasuk GST yang amat membebankan mereka.

“Seperti yang saya telah tegaskan Negeri Terengganu juga sedang berhadapan dengan cabaran getir dengan penurunan drastik bajet tahunan 2016 daripada RM2.3 bilion kepada hanya sekitar RM640 juta sahaja akibat dari terlalu bergantung kerajaan Terengganu kepada sektor minyak dan gas,” katanya.

“Marilah kita sama-sama menyelamatkan negeri Terengganu ini serta menyempurnakan tanggungjawab secara adil lagi saksama, jujur lagi ikhlas, amanah lagi berintrigriti. Kita sama-sama berdoa agar seluruh rakyat dan negeri Terengganu Darul Iman ini sentiasa dirahmati oleh Allah SWT. bagi kita melangkah ke lembaran baru demi kepentingan agama dan rakyat khususnya,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru