Wednesday, August 17, 2022

Tumpas 2-0 kepada Pulau Pinang, Ngap Sayot jatuh ke tangga ke-10 Liga Super

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak harus menyalahkan diri sendiri apabila pertahanan longgar menyebabkan mereka ketinggalan seawal minit ke-13, seterusnya mengheret kepada kekalahan dalam pertemuan dengan Pulau Pinang malam tadi.

Dalam pertempuran yang berlaku dalam cuaca gerimis, anak-anak buah David Usop menggigit jari apabila gagal membuat kawalan kemas, menyebabkan Pulau Pinang bebas melakukan asakan sejak awal permainan.

Hasilnya pemain lincah Muhammad Faizat Mohd Ghazali memanfaatkan hantaran lintang Mohd Faiz Subri, yang sebelumnya menerima lorongan Matias Cordoba untuk gol pertama Pulau Pinang.

Anak-anak buah Benad Macina seharusnya mampu melebarkan jaringan melalui beberapa peluang yang terhidang hasil gerakan Faiz Subri , Cordoba, dan Soleye Ranti Martins namun Ronny Harun dan Teah Dennis gigih menutup ruang untuk menghalang sentuhan penyudah.

Memasuki babak kedua, hujan rintis bagai menyukarkan Sarawak berusaha untuk bangkit.

Seperti yang ditakuti oleh David Usop, anak-anak buahnya gagal melakukan sentuhan penyudah biarpun beberapa umpanan baik direncanakan oleh Junior Aparecido dan Makeche Ndumba.

Malah Gilmar Jose Da Silva bagai hilang taring, terkunci oleh ketangkasan Mafry Balang dan Sani Annuar Kamsani yang mengukuh benteng terakhir Pulau Pinang.

Peluang ini diperguna sebaiknya oleh Pulau Pinang, yang menggandakan asakan menerusi lipas kudung S Kumaahran selain hantaran-hantaran kemas Jeong Sok Min, dan Soleye Ranti Martin.

Hasilnya, S Kumaahran menghukum kelalaian barisan pertahanan Ngap Sayot apabila menyempurnakan hantaran lintang Ranti Martins untuk menggegarkan gawang Sarawak untuk kali kedua pada minit ke-82.

Kekalahan tersebut menyebabkan Sarawak terperosok ke tangga ke-10 liga, berkongsi mata dengan Pulau Pinang yang naik ke tangga kesembilan.

Dalam saingan Liga Super, Sarawak akan bertandang ke Stadium Darulaman pada 16 Ogos ini sebelum melayan Selangor pada 24 Ogos.

Skuad Ngap Sayot bagaimanapun akan menentang T-Team di gelanggang lawan pada 9 Ogos sebelum melayan JDT II pada 13 Ogos. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru