Sunday, June 26, 2022

Semua percaturan tidak menjadi – David Usop

Secara Rawak

KUCHING: Jauh daripada kapasiti sebenar, itu akui David Usop mengulas pertembungan Sarawak-Pulau Pinang malam tadi yang berkesudahan, pasukan Ngap Sayot itu tumbang 0-2 di halaman sendiri.

“Semuanya tidak menjadi. Pulau Pinang pula bermain dengan baik. Mereka kehilangan bola dan mereka dapatkannya kembali, manakala pemain kita pula sebaliknya,” katanya yang jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan.

David berkata, anak-anak buah Menad Bacina melaksanakan strategi permainan dengan baik sekali hingga menyukarkan Sarawak menggerakkan strategi yang dirancang sebelum itu.

“Keempat-empat pertahanan Pulau Pinang beraksi dengan baik, terutama Mafry Balang yang mampu mengikat pergerakan Gilmar Jose Da Silva.

Katanya, dilema yang dihadapi oleh pasukannya adalah keletihan.

“Kalau mereka dapat rehat yang panjang, mereka akan bermain dengan baik. Tetapi jika berhadapan jadual yang ketat, inilah yang berlaku.

“Beberapa pemain kita tidak memiliki kekuatan mental dalam berhadapan keadaan seperti ini,” tambahnya.

Jelasnya, selepas bermain dalam hujan menentang Terengganu pada Rabu, para pemainnya tampak lembab ketika latihan.

“Malah saya cuba letakkan Ronny (Harun) untuk menggerakkan motivasi pasukan, namun dari aspek taktikal, malam ini (semalam) semuanya tidak menjadi.

Dalam keadaan sukar ini kata David, beliau perlu menilai dari perlawanan ke perlawanan, dan bukan mencongak strategi besar seperti yang sepatutnya.

“Kita perlu memberi fokus yang lebih selepas ini, dan saya mungkin akan membuat sedikit pertukaran strategi,” jelasnya.

Dalam saingan malam tadi, Muhammad Faizat Mohd Ghazali menjadi wira apabila meranapkan semangat juang Sarawak seawal minit ke-13 setelah memanfaatkan hantaran lintang Mohd Faiz Subri.

S Kumaahran pula menghukum kelalaian barisan pertahanan Ngap Sayot apabila menyempurnakan hantaran lintang Ranti Martins untuk menggegarkan gawang Sarawak pada minit ke-82, sekali gus mengesahkan tiga mata dicuri dari Bumi Kenyalang.

Kekalahan tersebut menyebabkan Sarawak terperosok ke tangga ke-10 liga, berkongsi mata dengan Pulau Pinang yang naik ke tangga kesembilan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru