Wednesday, June 29, 2022

Sarawak tak minta lebih, Sarawak hanya mahu haknya dikembalikan — Nancy

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak tidak meminta lebih, namun Sarawak berharap apa-apa yang menjadi haknya perlu diberi agar menjadi haknya.

Bercakap kepada pemberita di Stutong, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri mengingatkan Kerajaan Persekutuan bahawa perkara tersebut perlu diambil berat, bukan sekadar janji kosong.

13925177_1067547143324841_628385704722006522_n

“Ketua Menteri bercakap dengan rasa tanggungjawab kepada rakyat Sarawak kerana pertama rakyat berharap kepadanya bukan sekadar bercakap kosong… dan kedua Kerajaan Persekutuan mendengar suara kita,” kata Nancy.

Nancy berharap rakan sejawat di Semenanjung Malaysia memahami sentimen rakyat Sarawak.

Sebelum, ini Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dilaporkan berkata Barisan Nasional perlu menunjukkan peningkatan kemajuan dalam perbincangan penurunan kuasa Persekutuan kepada Sarawak atau terpaksa berdepan risiko kemenangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Nancy percaya kemajuan dari proses rundingan dalam usaha merealisasikan pengembalian semula kuasa pentadbiran yang sepatutnya dimiliki negeri ini mengikuti perjanjian penubuhan Malaysia boleh disaksikan sekitar Disember kelak.

Menurut beliau, mesyuarat pertama jawatankuasa autonomi negeri yang ditubuhkan berlangsung pertengahan bulan ini.

Mesyuarat tersebut diwakili ahli jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah Pejabat Peguam Besar Negeri membincangkan secara khusus pengembalian semula kuasa kepada Sarawak.

“Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri lepas banyak tertumpu kepada janji mahu mengembalikan kuasa terbabit kepada negeri ini dan sekarang menjadi kesungguhan Kerajaan Negeri (menunaikan janji) kepada rakyat Sarawak,” kata Nancy.

Tambah beliau, sekiranya perkara terbabit tidak dapat ditunaikan sukar bagi Kerajaan Negeri menjamin kebanyakan kerusi parlimen di Sarawak akan dimenangi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Isu pengembalian kuasa kepada Sarawak bukan sesuatu yang baharu, tetapi ia merupakan perkara yang sudah lama termaktub dalam perjanjian ketika Sarawak terlibat bersama menubuhkan Malaysia.

Terhakisnya kuasa yang sepatutnya dimiliki negeri ini dalam perjanjian menubuhkan Malaysia menyebabkan Sarawak ketinggalan dari segi pembangunan prasarana berbanding negeri lain di Semenanjung.

Menurut Nancy, tuntutan pengembalian kuasa terbabit bukan bertujuan mahu menikmati kemewahan seperti membina pusat beli-belah di luar bandar, “tetapi (kita) mahu mendapatkan perkara asas disediakan seperti bekalan air paip, elektrik dan membaik pulih bangunan sekolah usang,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru