KUALA LUMPUR: “Jangan hanya turun kawasan, tunjuk muka apabila saya balik,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di satu majlis di Bagan Datoh, Perak semalam.
Kenyataan sedemikian tentu diluahkan kerana ada ketua atau pemimpin dan wakil rakyat yang bersikap demikian.
Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata terdapat segelintir pemimpin Umno peringkat bahagian yang hanya turun bertemu rakyat di peringkat akar umbi apabila beliau melawat kawasan tersebut.
Hakikatnya, perkara seperti itu bukan hanya berlaku dalam kalangan pemimpin Umno. Semua parti politik di negara ini mempunyai pemimpin seperti yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri.
Mereka mengamalkan politik tunjuk muka. Maksudnya, pemimpin jenis ini hanya tunjuk muka apabila boss ada. Kalau boss tidak ada mereka tidak pun nampak.
Politik tunjuk muka ketika boss ada penting bagi menarik perhatian ketua. Maksudnya, ada bahayanya kalau boss sering tidak nampak muka pemimpin ketika boss turun padang.
Kelmarin Sultan Johor memberi amaran kepada penerima darjah kebesaran daripada ayahanda baginda yang tidak hadir Hari Hol, akan ditarik balik gelaran berkenaan.
Bukan menjadi rahsia lagi pemimpin parti di semua peringkat akan berduyun-duyun pergi ke majlis yang dihadiri Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Ketua Menteri.
Sebabnya? Mereka hendak tunjuk muka kepada boss-boss berkenaan bahawa mereka prihatin terhadap rakyat, dan sentiasa menyokong perjuangan parti. Mereka ialah pemimpin yang pandai “jek” boss. Mereka ialah pengampu dan tukang bodek.
Ke mana-mana sahaja boss pergi, pemimpin berkenaan pasti akan pergi ke tempat itu.
“Mereka (pemimpin) tahu saya sibuk, tapi mereka pun buat-buat sibuk. Bila saya balik baru nak tunjuk muka. Apa punya pemimpin?, katanya. Tentu kata-kata Ahmad Zahid itu disambut tepukan gemuruh oleh mereka yang hadir.
Ini sikap pemimpin yang hipokrit. Dia tidak jujur. Dia hanya mengutamakan kepentingan diri. Dia tahu jika boss sentiasa tengok mukanya, maka ini akan membuktikan kepada boss berkenaan bahawa, dia pemimpin parti yang komited. Walhal apabila boss tidak ada, dia pun tidak muncul di kawasan itu. Mereka ini pura-pura sibuk apabila boss ada.
Mereka ini mempunyai agenda tersembunyi. Mereka ada udang di sebalik batu. Antaranya, bagi melembutkan hati boss. Jadi, apabila memohon projek mudahlah bagi boss beri pertimbangan.
Pemimpin jenis ini tidak layak diberi tempat dalam parti; tidak layak menjadi wakil rakyat atau ketua di peringkat cawangan atau bahagian. – Sarawakvoice.com