Wednesday, June 29, 2022

Pokemon Go: Dr Juanda tak cenderung haramkan, minta KPDNKK, SKMM kaji

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Akhirnya, permainan augmented reality pencetus fenomena dan paling kontroversi di dunia, Pokemon GO mendarat rasmi di Malaysia pada 8 pagi Sabtu.

Malaysia menerima Pokemon GO bersama beberapa negara lain seperti Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Papua New Guinea, Fiji, Kepulauan Solomon, Persekutuan Mikronesia dan Palau.

Meskipun di beberapa negeri tersebut, Pokemon GO sudah dimainkan setelah dimuat turun secara tidak sah dari aplikasi Eropah dan wilayah lain.

Kini, pengguna telefon pintar Malaysia sudah boleh memuat turun Pokemon GO di Apps Store bagi pengguna iPhone dan bagi pengguna Android di Play Store.

Pokemon GO mengundang kontroversi selepas menyebabkan pengguna di seluruh dunia terlibat pelbagai insiden kemalangan dan jenayah, terlanggar kereta polis, jatuh gaung, ditembak, dirompak, terperangkap di tanah perkuburan, memasuki kawasan larangan seperti parlimen, bali polis dan sebagainya.

Di Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengkaji aplikasi permainan Pokemon Go sebelum menetapkan pengharaman permainan tersebut.

Menurut laporan Utusan Borneo, Juanda bekas Mufti Perlis itu meminta agar kajian tersebut merangkumi kesan permainan terhadap pengguna terutama masyarakat Islam.

Juanda berkata, “saya kurang cenderung kepada pengharaman sesuatu yang masih bersifat kemungkinan seperti permainan dan sebagainya kerana penetapan hukum hendaklah atas perkara yang hampir pasti.

Bagi Juanda, alasan pengharaman atas faktor kelalaian akibat bermain sukar diukur, ini kerana permainan sememangnya membawa kepada kelalaian apabila pemain tidak mempunyai disiplin menjaga masa.

Juanda mahu sebaik-baiknya tindakan yang perlu diambil adalah dengan memberi nasihat berterusan daripada menyatakan hukum tertentu.

“Pihak yang memberi fatwa mungkin ada alasan mereka, tetapi untuk jatuh haram secara mutlak ia mungkin agak melampau, ” kata Juanda.

Juanda mengulas lanjut bahawa walaupun perkara baharu sebegini boleh diberi ijtihad dan pandangan, namun bagi beliau, beliau kurang gemar pendekatan menghukum.

Sebelum ini, pada Jumaat lalu keputusan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan menetapkan karektor Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan dimain oleh umat Islam atas faktor kemaslahatan dan mudarat.

Pokemon Go dikatakan memperbesar kuasa dan dewa tertentu dan ditambah dengan isu judi serta isu lain seperti pengintipan pihak luar, pencerobohan ruang peribadi, faktor keselamatan seperti kemalangan, kelalaian dan sebagainya.

Pokemon pernah popular pada 1990-an bersama munculnya Nintendo Game Boy. Kini, aplikasi Pokemon Go menjadi permainan nombor satu dunia mengalahkan Candy Crush dan Snapchat.

Bahkan, kesibukan Pokemon Go mengatasi laman sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp atau Instagram.

Durasi bermain Pokemon Go dilaporkan lebih lama mengatasi pengaksesan Facebook.

Mengejutkan, kata kunci traffic internet untuk Pokemon GO lebih tinggi berbanding carian pornografi.

Tiga negara terawal menerima pelancaran Pokemon GO memegang ranking tertinggi pemain iaitu New Zealand, Austaralia dan Amerika Syarikat.

Filipina dan Vietnam menduduki tangga ke-10 dan ke-11 mewakili Asia Tenggara dalam carta.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) Kabupaten Lebak, Banten, mengharamkan Pokemon Go, dan meminta MUI Pusat melakukan hal yang sama.

Fatwa haram itu berdasarkan kauliyah ulama bahawa setiap permainan yang tidak ada manfaatnya, hukumnya haram.

Bahkan permainan tersebut melalaikan kewajipan solat lima waktu, selain mengganggu pekerjaan.

Nahdlatul Ulama turut memutuskan Pokemon Go makruh, bahkan haram jika menyebabkan pemain lupa diri.

Manakala, kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan Pokemon Go 20 Julai lepas.

Permainan tersebut dianggap tidak islamik dan mempromosikan perjudian serta cuba perkuatkan teori evolusi Darwin. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru