Sunday, June 26, 2022

Penyokong Perak atau penyokong JDT yang samseng?

Secara Rawak

Sekali lagi kekecohan tercetus di padang bola gara-gara tidak puas hati dengan keputusan perlawanan.

Malam tadi, dilaporkan sekurang-kurangnya dua penyokong JDT dan seorang jurufoto akhbar tempatan cedera dipercayai terkena balingan objek keras di Stadium Perak.

13902622_663555383807764_671984520598061991_n

Jurufoto berkenaan mendawa beliau diserang penyokong JDT di tengah padang, selain dipijak di beberapa bahagian badan.

Jurufoto berkenaan mengalami kecederaan di mata, perut dan kaki akibat dipijak. Lebih malang, kameranya bernilai RM30,000 dirampas.

Kekecohan terjadi selepas tuan rumah, Perak tewas 0-1 kepada pasukan pelawat JDT, yang lebih dikenal sebagai The Southern Tigers dalam perlawanan Liga Super.

Inilah akibatnya apabila penyokong tidak ada semangat kesukanan. Mereka hanya hendak tunjuk lagak samseng di padang. Yang mereka tahu adalah hendak tunjuk sikap buruk mereka, tanpa semangat kesukanan yang tulen.

Sukar untuk menentukan penyokong pasukan mana yang samseng? JDT atau Perak? Siapa yang memulakan provokasi?

Hooliganisme biasanya berlaku apabila penyokong bola sepak yang taasub atau fanatik wujud di padang. Mereka tidak dapat menerima kekalahan pasukan yang disokong, dan mudah kecewa.

Kumpulan inilah yang sering merusuh dan melakukan kekacauan. Antara tindakan ganas yang dilakukan termasuk menyerang penyokong lawan, memusnahkan kemudahan di stadium dan pelbagai lagi bentuk vandalisme.

Adakah permainan ini sudah tidak lagi selamat?

Pada April lalu, beberapa penyokong Perak dan Kuala Lumpur terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terkena balingan batu, serta diserang ketika keluar meninggalkan stadium.

Kekecohan berlaku kerana wujudnya provokasi.

Dalam peristiwa malam tadi, siapakah sebenarnya yang memulakan provokasi?

Ketegangan dan provokasi menyebabkan kejadian seperti itu. Bola sepak negara sekali lagi tercemar oleh sikap tidak bertanggungjawab dan tidak berdisiplin penyokong.

Berbaloikah peristiwa seperti ini terjadi sedangkan sukan seperti bola sepak bertujuan untuk memupuk nilai murni termasuk perpaduan dan semangat kesukanan?

Sebaliknya, sukan menjadi medan berbunuh, berperang, dan berkelahi sesama penyokong?

Peristiwa seperti ini memang amat memalukan. Selagi penyokong dikuasai emosi dan tidak menggunakan otak, selagi itulah pergaduhan dan perkelahian dalam kalangan penyokong berlaku. Kejadian seperti ini tidak seharusnya dibiarkan kerana ia mencemarkan imej negara dan boleh membawa kemudaratan kepada mereka yang ada di stadium. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru