Mengimbas kembali bagaimana Hiroshima, Nagasaki dimusnahkan bom atom 71 tahun lalu

Semalam ulang tahun ke-71 bom atom digugurkan di Hiroshima, Jepun oleh Amerika Syarikat. Pesawat Amerika B-29 menggugurkan bom yang dikenali sebagai “Budak Kecil”. Meskipun bom itu dikenali sebagai budak kecil, tetapi kesannya begitu besar dari segi politik, ekonomi, kesihatan dan sebagainya.

Ledakan bom itu memusnahkan 90 peratus daripada kota berkenaan. Sebanyak 80,000 maut serta-merta. Bayangkan!

Budak kecil atau “Little Boy” digugurkan di Hiroshima pada jam 8:15 pagi waktu tempatan, 6 Ogos 1945.  Presiden AS Harry S Truman meminta Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua itu 16 jam kemudian.

Tetapi Jepun enggan segera mengibarkan bendera putih. Truman memberi amaran, jika tidak akan turun hujan kehancuran dari langit, sesuatu yang tidak pernah disaksikan sebelumnya.

Kota berkenaan dihancurkan oleh bom yang begitu dahsyat, dengan suhu mencanak sehingga 4,000 C (7,232 F)— tahap kepanasan yang mampu meleburkan keluli. Pada tahap kepanasan sedemikian tinggi, siapakah yang dapat hidup?

Bom yang meledak itu mengorbankan banyak jiwa  dengan sebahagiannya terkorban serta-merta, manakala selebihnya meninggal dunia beberapa hari, minggu, bulan atau tahun kemudian.

Penderitaan yang dialami tidak tertanggung oleh mereka yang menjadi mangsa.

Bom yang kedua dikenali sebagai “Lelaki Gemuk” atau “Fat Man” meledak di Nagasaki tiga hari kemudian, iaitu pada 9 Ogos, jam 11.02 pagi.

Di Nagasaki sebanyak 39,000-80,000 menjadi mangsa bom seberat 10,000 paun. Korban pada hari pertama lebih daripada setengah daripada angka keseluruhan.  Beberapa bulan kemudian, ramai yang mati kerana kesan radiasi.

Akhirnya Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada 15 Ogos, enam hari selepas Nagasaki digoncangkan oleh bom dahsyat.

Peace Memorial Park in Hiroshima-0001

Maharaja Hirohito terpaksa mengisytiharkan kekalahan melalui radio. Berita itu pantas merebak di AS dan negara sekutu.

Ada baiknya generasi sekarang mencari dan membaca buku berkaitan dengan episod penting dalam sejarah dunia itu.

Semalam, 50,000 orang berhimpun di lokasi bom itu digugurkan diketuai Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

Pada akhir bulan ini, saya akan ke kota Hiroshima untuk menyaksikan sendiri kemajuan di kota itu selepas hancur musnah tujuh dekad lalu. Saya ingin mengunjungi Taman Peringatan Kedamaian Hiroshima.

Saya ingin menghayati dan merasai sendiri suasana dan keadaannya.

Didoakan tidak akan ada lagi perang dan bom yang begitu dahsyat kesannya. – Sarawakvoice.com