Wednesday, June 29, 2022

Kisah dua Ahmad dalam kekalutan politik Terengganu

Secara Rawak

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Datuk Seri Ahmad Said ialah punca kekalutan politik di negeri itu.

ahmad razif ahmad said-0000Hakikatnya Ahmad Razif menyalahkan Ahmad Said dan Ahmad Said menyalahkan Ahmad Razif. Ahmad Razif  kata Ahmad Saidlah yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) negeri hilang tujuh daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwarisi daripada pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh.

Dengan mempunyai hanya 17 daripada 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, Ahmad Razif berkata, Kerajaan BN Terengganu  sentiasa berada dalam keadaan tidak menentu dan tidak berkeyakinan. Kedudukan BN sentiasa bagai telur di hujung tanduk.

Kad terakhir seolah-olah bagai di tangan Ahmad Said. Beliau boleh menggertak dan mengancam, termasuk mengemukakan usul tidak percaya. Kalau pemimpin lain, tentu sudah digantung atau dipecat. Tetapi setakat ini Umno bagai takut mengambil tindakan terhadapnya. Mengapa? Sebab, jika beliau dipecat, maka habislah cerita BN di Terengganu.

Ahmad Razif berkata kerajaan BN Terengganu sedang berhempas-pulas memikul beban tanggungan yang ditinggalkan oleh Ahmad. Di sebalik kegagalan Ahmad, bekas menteri besar itu dilihat seolah-olah cuba menonjolkan diri sebagai penyelamat pula.

Pada Selasa lalu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib mengkritik kepemimpinan Ahmad Razif dan memberitahu media bahawa kepemimpinan tertinggi Umno perlu mengambil pendekatan dan tindakan segera bagi menyelesaikan apa yang dianggapnya kemelut pentadbiran negeri.

Bagi Ahmad Said pula beliau semacam ada dendam terhadap Ahmad Razif. Beliau mendakwa peruntukan tidak disalurkan untuk kawasannya, serta Ahmad Razif mengambil tindakan terhadap penyokongnya.

Dalam keadaan sekarang benarkah Ahmad Said berlagak seperti Tun Dr Mahathir Mohamad? Mahu diakui atau tidak, beliau adalah duri dalam daging bagi BN Terengganu. Duri itu perlu dicabut. Jika tidak, tubuh politik BN akan menderita.

Mungiinkah satu drama berlaku lagi di DUN Terengganu esok? Mungkinkah Ahmad Said kemukakan usul undi tak percaya? Dalam keadaan sekarang, tentu rakyat di Terengganu tidak mahu satu lagi pilihan raya negeri.

Mungkin sahaja Bn punya keyakinan untuk menang malah menambah jumlah kerusi dalam keadaan perpecahan berlaku dalam kalangan parti pemnbangkang. Tetapi kita perlu ingat BN pernah dikuasai Pas dua kali, iaitu pada 1959 dan 1999.

Bagi Ahmad, beliau hanya mahu satu sahaja tindakan: Gugurkan atau gantikan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar. Baginya, Ahmad Razif yang telah dicabut gelaran Datuk Seri oleh Sultan, adalah ibu segala masalah. Persoalannya, adakah dengan mengadakan PRN atau menggantikan Ahmad Razif gelora politik di Terengganu akan selesai? – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru