Duterte arahkan tentera hapuskan segera kumpulan Abu Sayyaf

CEBU CITY: Presiden Rodrigo Duterte malam Jumaat menyeru anggota tentera supaya meningkatkan serangan terhadap pengganas, termasuk menghapuskan segera kumpulan Abu Sayyaf.

“Tidak akan ada perjanjian damai. Hapuskan mereka sehingga ke anggota terakhir,” katanya seperti dipetik Philstar global.

Kumpulan Abu Sayyaf ialah kumpulan militan Islam yang bergerak di pulau Jolo dan Basilan, bahagian barat daya Filipina.

Duterte yang dikenali dengan ketegasannya memberi arahan tersebut kepada 200 anggota tentera  di ibu pejabat Philippines Central Command (AFP-CentCom) di Barangay Lahug di sini.

Beliau turut memberitahu bahawa tidak akan ada kerajaan campuran dengan pemberontak komunis.

”Saya tak akan sama sekali bersetuju mengadakan kerajaan campuran dengan pemberontak komunis,” tegas Duterte yang menerajui negara Filipina sejak 30 Jun lalu.

Beliau mengakui bahawa ancaman terbesar terhadap Filipina dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang ialah terorisme.

“Saya mahu mempersiapkan negara untuk menghadapinya,” kata Duterte.

Kumpulan Abu Sayyaf yang ditubuhkan pada 1991 dikatakan mempunyai sekitar 500 anggota, turun daripada 1,250 pada tahun 2000. Kumpulan ini kebanyakannya menggunakan alat letupan diperbaharui, mortar dan senapang automatik.

Abu Sayyaf menjalankan pengeboman, pembunuhan, pemerasan dan penculikan, termasuk di wilayah Sabah.

Penculikan dilakukan untuk mendapatkan tebusan, sering dalam lingkungan belasan atau puluhan juta ringgit.

Mereka juga terbabit dalam kegiatan jenayah, serangan seksual kanak-kanak, perkahwinan paksa dan rogol. – Sarawakvoice.com