Sunday, June 26, 2022

Contohi semangat juang atlet paralimpik, kata Adenan

Secara Rawak

KUCHING: “Ambil iktibar daripada atlet-atlet sukan paralimpik.

“Mereka telah membuktikan bahawa dengan semangat juang yang tinggi, serta komitmen yang berterusan, mereka juga boleh bersinar dalam acara sukan yang disertai,” kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem sewaktu merasmikan Sukan Paralimpiad 2016 yang berlangsung Stadium Perpaduan di sini semalam.

Teks ucapan perasmiannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam majlis pembukaan yang meriah semalam.

Seramai 1,407 atlet dan pegawai terlibat dalam temasya lima hari ini termasuk 208 yang bekerusi roda.

Menurut Adenan lagi, sukan ini membuka ruang dan peluang yang sama kepada golongan kurang upaya (OKU) bahawa mereka juga berbakat dan berpotensi dalam bidang sukan.

Katanya lagi, melalui sukan seperti ini, Malaysia akan dapat melahirkan generasi yang sihat dan cergas selain memperkukuh ikatan perpaduan dalam kalangan atlet yang pelbagai kaum.

Beliau juga optimis sukan parampiliad ini akan terus berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini merupakan kali kedua Sarawak terpilih sebagai tuan rumah sukan ini selepas menganjurkannya untuk julung kali pada tahun 1996.

“Sehubungan itu, saya berharap sokongan daripada semua lapisan masyarakat dapat menjadi pendorong dan pembakar semangat atlet-atlet ini untuk memperoleh pencapaian yang lebih cemerlang,” katanya.

Turut hadir ialah mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang menemani isterinya, Tun Jeanne Abdullah, yang juga Penaung Majlis Paralimpik Malaysia.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Kebajikan, Keluarga dan Masyarakat Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, SM Nasarudin SM Nasimuddin.

Dalam kejohanan kali ini, Sarawak menghantar kontijen terbesar, yakni seramai 285 atlet dan pegawai diikuti Sabah 139, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 125 dan Terengganu 105.

Mereka akan terlibat dalam sembilan jenis sukan iaitu badminton, tenpin boling, boling padang dan catur.
Turut dilangsungkan acara memanah, olahraga, ping pong, angkat berat dan renang.

Sebanyak 415 pingat emas dipertandingkan dengan olahraga menawarkan 126 butir emas, renang 97, tenping boling 63 dan catur 34.

Majlis penutupan rasmi temasya ini dijangka akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada Rabu ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru