Tuesday, June 28, 2022

10 hari tunggu kekasih yang tak muncul di lapangan terbang, akhirnya dia masuk hospital

Secara Rawak

HUNAN: Alexander Pieter Cirk, 41 sanggup terbang sejauh 4,500 kilometer dari Belanda menuju Hunan di China.

Dia berharap dapat bertemu kekasihnya, wanita China yang dikenalinya melalui media sosial di internet.

Kekasih mayanya itu bernama Zhang.

Namun, hati Alex hancur dan remuk, setelah menunggu 10 hari di Lapangan Terbang Changsa, kekasih mayanya itu tidak kunjung muncul.

Dari sehari ke sehari dia sabar menanti tetapi hampa.

Alex memberitahu media China, dia bertemu Zhang, 26 melalui aplikasi media sosial di internet dua bulan lalu dan sejak itu cintanya berputik membawanya terbang sejauh itu.

Alex mahu menemui Zhang dan nekad mengunjunginya di China, namun turunnya dia di lapangan terbang, Zhang tiada di situ.

Menurut laporan Hunan TV, Alex tidak berganjak untuk meninggalkan lapangan terbang selama 10 hari.

Dengan keadaan yang tidak selesa, akhirnya Alex dibawa ke hospital akibat menanggung keletihan fizikal.

Hunan TV sempat menghubungi wanita bernama Zhang, sehari setelah laporan itu muncul.

Zhang memberi alasan mengatakan dia fikir Alex hanya bergurau untuk datang menemuinya di China. Dia anggap ia sebagai lawak jenaka semata-mata.

“Kami sebelum ini memiliki hubungan cinta, tapi kemudian dia seperti main-main terhadap saya,” kata Zhang kepada Hunan TV.

“Suatu hari dia tiba-tiba menghantar kepada saya, foto tiket pesawatnya dan saya (masih) fikir itu hanya gurauan.

“Dan dia tidak menghubungi saya selepas itu,” tambah Zhang.

Zhang juga menjelaskan ketika Alex tiba di lapangan terbang, dia sedang menjalani pembedahan plastik di wilayah lain.

Zhang turut mematikan telefonnya dalam tempoh tersebut.

Alex dijadualkan pulang ke negara asalnya minggu ini setelah rasa cinta menghantarnya tidur di katil hospital.

Zhang bagaimanapun dikatakan benar-benar mahu menemuinya selepas dia pulih dari operasi plastiknya.

Zhang juga mengatakan dia masih mahu meneruskan hubungannya Alex.

Apabila kisah Alex-Zhang menjadi viral di internet khususnya di laman sosial terkenal China, Weibo, netizen menulis pelbagai respons:

“Mungkin Zhang sudah ke lapangan terbang, namun setelah melihat rupa Alexander, dia segera pulang,” tulis seorang netizen.

Netizen lain menulis, “tidakkah dia sedar banyak perkara di China itu palsu?”

Terdapat komen yang bersimpati dengan nasib Alex yang sedang kemaruk cinta itu:
“Dia (Alex) menjalani hubungannya dengan serius, janganlah permainkan perasaannya,” tulis seorang netizen.

Tulis netizen lain, “jika kamu (Zhang) tak mahukannya lagi, katakan saja kepadanya, agar dia boleh pulang.” – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru