Wednesday, June 29, 2022

Skandal Sukma: Enam saksi dipanggil SPRM

Secara Rawak

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak telah memanggil enam saksi untuk membantu siasatan dakwaan berhubung penyelewengan prasarana perlumbaan acara berbasikal sempena Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII yang lalu.

Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman ketika dihubungi berkata, keenam-enam individu itu telah memberi kerjasama yang baik dan dirakam keterangan mereka sejak Isnin lalu.

“Kita masih di peringkat awal siasatan dan belum ada pertuduhan diputuskan,” katanya lagi.

Sebelum ini, dua individu, masing-masing pentadbir kanan persatuan lumba basikal peringkat kebangsaan dan negeri dikatakan sedang disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM1.9 juta, yang sepatutnya digunakan untuk persediaan acara tersebut.

89a38699-99a6-4488-adf6-9fdd9e90e7faKetika temasya SUKMA berlangsung pada minggu lalu, isu pintu gerbang garisan permulaan dan penamat acara lebuh raya yang menggunakan kain rentang dengan tiang besi perancah menjadi viral di laman sosial kerana dikatakan tidak sesuai untuk perlumbaan yang berstatus kebangsaan.

Pada masa yang sama, siasatan turut merangkumi kerja-kerja pembinaan trek baharu basikal lasak dan BMX di Bukit Siol, Petra Jaya membabitkan peruntukan RM1 juta yang didakwa tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

SPRM dikatakan telah merampas beberapa dokumen daripada dua premis yang diserbu Isnin lalu, termasuk pejabat sebuah persatuan lumba basikal di Kuching untuk diteliti.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Lumba Basikal Sarawak (SCA) yang juga chef-de-mission skuad SUKMA negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan mengalu-alukan siasatan SPRM sekiranya ada penyelewengan berlaku.

Namun beliau meminta SPRM memberi bayangan, apakah bentuk siasatan yang dijalankan yang melibatkan persatuan tersebut, kerana pada pemerhatiannya, perjalanan pentadbiran dan pengurusan persatuan itu sebelum ini berlangsung baik dan lancar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru