KUALA LUMPUR: Pas berharap semoga Malaysia, dalam suasana bakal menyambut Hari Kemerdekaan, kekal bebas daripada campur tangan kuasa asing.
Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan berkata, sering kali Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi amaran tidak dibiarkan kuasa asing mencampuri urusan negara kita dan ia boleh berlaku apabila pemerintah di negara-negara umat Islam lalai dan cuai.
Nasrudin berkata, Abdul Hadi mempunyai maklumat dan analisis yang menarik berkaitan isu-isu di Timur Tengah dan cubaan rampasan kuasa di Turki, baru-baru ini.
Abdul Hadi menghadiri Persidangan Lembaga Pemegang Amanah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia kali keempat mulai 3 Ogos lalu di Tukri.
“Umat Islam di Malaysia wajar cakna akan perkembangan-perkembangan ini. Bukan sahaja menjadi satu kewajipan untuk menunjukkan kebersamaan kita bersama masyarakat Islam antarabangsa dalam isu-isu yang meruntuni ummah tetapi sebagai satu iktibar di dalam kita memelihara kepentingan Islam di negara kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, urusan Presiden sebagai murabbi menyaksikan keluasan perjalanan beliau manakala peranan sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia menemukan beliau dengan aktor-aktor penting geopolitik antarabangsa, memberikan beliau akses kepada maklumat dan perspektif eksklusif.
Nasrudin menjemput orang ramai untuk menghadiri Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana berkaitan Isu-Isu Timur Tengah dan Turki pada 14 Ogos di Dataran KUIZM Taman Melewar kelak dan mendengar sendiri pandangan dan analisa daripada Presiden.
“Ini adalah satu peluang yang mesti dimanfaatkan dan tidak harus dilepaskan,” katanya. – Sarawakvoice.com