Sunday, June 26, 2022

Keluarga diraja tidak harus jadi Presiden FAM, harus seorang yang neutral – TMJ

Secara Rawak

JOHOR BAHRU: Tengku Mahkota Johor (TMJ) yang juga penasihat kelab bolasepak JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menolak cadangan agar beliau mengambil alih tampuk pemerintahan dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurutnya, jawatan Presiden FAM tidak sepatutnya datang daripada golongan keluarga diraja, dan juga mana-mana individu yang mempunyai pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian, termasuk dirinya.

“Presiden FAM seharusnya seorang yang neutral kepada semua negeri dan kelab-kelab yang mengambil bahagian.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan elemen rasuah dan berlakunya sikap pilih kasih,” katanya dalam status terbaharu laman facebook Southern Tigers.

Tunku Ismail berkata, baru-baru ini beliau telah diberikan taklimat mengenai FAM oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Bendahari FAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

“Antara topik yang diperbincang adalah berkaitan cadangan untuk melantik saya sebagai Pengerusi Pasukan Kebangsaan, Ketua Kongres FMLLP, dan Presiden FAM.

“Walau bagaimanapun, saya mempunyai cadangan tersendiri yang ingin dikongsi dengan penyokong bolasepak tanah air, kerana mereka berhak tahu.”

Antaranya termasuklah cadangan agar para pengadil diletakkan dalam sebuah persatuan yang bebas dan dibiayai kerajaan.

“Ini bertujuan untuk meningkatkan taraf mereka dengan dibayar gaji seperti persatuan pengadil lain di luar negara.

“Kaedah ini dapat menghapuskan sebarang pilih kasih dan mengelakkan berlakunya campur tangan secara halus daripada pegawai-pegawai tertinggi FAM, yang akan mempengaruhi mereka.

Selain itu, Tunku Ismail turut mencadangkan agar Presiden dan ahli exco yang sedia ada digugurkan.

“Sebaliknya ahli-ahli exco yang baharu perlu terdiri daripada mereka yang berupaya untuk menyumbang dan bekerja demi kepentingan bola sepak negara.

“Jika mereka tidak mampu, maka mereka perlu berundur dan memberi laluan kepada orang lain yang berkebolehan,” tegasnya.

Di samping itu, ketelusan FAM dalam perancangan mereka amat diperlukan dan penyokong mesti dibenarkan sekali-sekala untuk memberi persoalan dan pertanyaan kepada badan induk bolasepak itu.

“Penyokong berhak untuk mengetahui apa yang sedang berlaku dalam FAM dan segala matlamat serta hala tuju FAM pada masa-masa akan datang.

Bagi menjulang kembali prestasi pasukan kebangsaan di mata dunia pula, ujarnya, khidmat jurulatih luar hendaklah digunakan.

“Jurulatih dengan pakej latar belakang, pencapaian dan rekod prestasi yang baik.

“Beliau juga perlu memiliki pengalaman membimbing kelab atau pasukan kebangsaan selain dibenarkan membawa pasukannya sendiri dan melaksanakan apa jua yang telah dirancangkan.

Paling penting, tegasnya, jurulatih tersebut diberikan masa untuk membuat perubahan.

“FAM tidak begitu berkembang sejak 30 tahun yang lalu dan saya percaya, kita perlu memberikan masa yang secukupnya selain ruang yang diperlukan untuk jurulatih baharu tersebut mencipta peningkatan.”

Dari sudut pentadbiran tambahnya, mesyuarat exco perlu kerap diadakan dan dilakukan secara penggiliran di setiap negeri dalam negara ini.

“Pada masa yang sama, semua pasukan yang bertanding perlu mempunyai program akar umbi, stadium dan pusat latihan sendiri, yang diusahakan oleh kelab, bukannya bergantung kepada pihak lain,” katanya lagi.

Selain itu, Tunku Ismail turut tidak bersetuju dengan cadangan Khairy agar beliau mengambil alih jawatan Presiden FAM.

“Saya tidak bersetuju kerana saya sudah mempunyai JDT.

“Akan ada konflik kepentingan kerana saya akan lebih cenderung kepada negeri saya.

Tunku Ismail bagaimanapun akan mempertimbang tawaran sebagai Pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres untuk FMLLP dan akan menanti pertemuan kedua dengan Khairy dan Norza sebelum membuat sebarang keputusan.

“Khairy telah berkongsi formula beliau, dan saya telah membentangkan pandangan saya.

“Tindakan saya membuktikan dua perkara yang merupakan fakta yakni saya bukan seorang yang pentingkan diri sendiri, pemanipulasi, dan terbabit dalam gejala rasuah, kerana jika saya sedemikian rupa, saya pasti akan menerima tawaran untuk menjadi presiden sekarang ini.

“Kedua, FAM dikawal oleh sekumpulan individu dan sistem yang mengawal bola sepak Malaysia dengan budaya mementingkan diri sendiri.

Ikrarnya, beliau akan memusnahkan apa yang kelompok ini bina dari awal dan akan membina sistem ini semula dengan lebih baik. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru