Tuesday, June 28, 2022

Dr Mahathir hendak celakakan Umno

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sejauh manakah parti baharu yang bakal ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dapat menarik sokongan daripada rakyat?

Benarkah dia dapat celakakan dan jahanamkan Umno, parti yang dipimpinnya selama 22 tahun?

Tidakkah perbuatan Dr Mahathir itu umpama marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

Adakah mantan Perdana Menteri itu masih mempunyai pengaruh?

Bagi Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin, seperti dipetik media hari ini, parti itu mampu ‘mencelakakan’ Umno jika penubuhan parti itu dianggap remeh oleh ahli dan kepemimpinan Umno.

Parti yang bakal ditubuhkan Dr Mahathir dan Tan Sri Mahyuddin Yassin itu tidak boleh dipandang enteng. Maksudnya, ia boleh membawa kesan terhadap Umno.

Beberapa pemimpin percaya bahawa jika Umno leka, ia akan membawa mudarat.

Tetapi hakikatnya, berkesan atau tidak parti itu nanti banyak ditentukan oleh sejauh mana pemimpinnya dapat menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.

Memang, kedudukan Umno boleh tergugat jika Dr Mahathir dan Muhyiddin dapat menangkap imaginasi politik pengundi melalui naratif politik yang meyakinkan.

Tetapi kalau mereka hanya mengeksploitasikan isu 1MDB dan hanya dilihat cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kemungkinan besar ia tidak akan pergi jauh.

Parti baharu memerlukan banyak wang. Tidak diragui Dr Mahathir dan Muhyiddin tidak berdepan masalah dari segi itu.

Namun, yang jauh lebih penting adalah mampukah mereka memberi penjelasan tentang dasar, ideologi dan matlamat parti itu dalam waktu singkat.

Mereka perlu menjelajah ke seluruh negara untuk meyakinkan rakyat bahawa parti berkenaan bukan sekadar hendak menjatuhkan Najib, tetapi benar-benar cuba menyelamatkan Malaysia seperti didakwa.

Adakah calon yang bakal ditampilkan dalam PRU nanti benar-benar berwibawa, mengalahkan calon UMNO dan Pas atau PKR?

Dari satu segi, kredibiliti mereka berdua pasti akan turut diragui dan dipertikaikan. Sebab, selama ini mereka diberi tempat oleh Umno, dan mendapat banyak nikmat daripadanya. Tetapi kini tiba-tiba mereka hendak menjahanamkan dan mencelakakan Umno.

Namun, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut mengingatkan pemuda Umno supaya tidak mengambil mudah parti baharu Dr Mahathir dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.

Ya, Dr Mahathir boleh membuat kejutan, dan Umno tidak boleh main-main dengan beliau. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru