Ketika menuntut di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri pada akhir dekad 1970-an dahulu, saya kerap berkunjung ke Kampung Dagang.  Tinggal di asrama kadangkala amat membosankan. Maka, hujung minggu ialah saat yang sentiasa dinantikan.

Pada hari Sabtu dan Ahad sekurang-kurangnya saya bukan sahaja dapat mengelak daripada makan sardin hitam di asrama, tetapi  mengelak rasa bosan yang begitu mencengkam.

Kampung Dagang merupakan sebuah kampung yang menempatkan  ramai penduduk daripada pelbagai bangsa.

Mereka berasal dari pelbagai kawasan di Sarawak, termasuk saudara-mara saya dari Mukah. Kampung itu mungkin dikenali sebagai Kampung Dagang kerana di situ banyak “pedagang”, iaitu pendatang dari luar Miri.

Mencuba nasib

Kebanyakan pendatang di situ ialah golongan kelas bawahan yang mencuba nasib dan mencari kehidupan di tempat baharu dengan harapan keadaan hidup mereka akan bertambah baik.

Saya percaya, ada daripada mereka yang sudah tinggal di situ sejak 1950-an. Sebahagian daripada mereka bekerja sebagai nelayan dan buruh kasar, dan ada yang bekerja dengan sektor awam dan swasta.

Kampung Dagang menjadi tempat saya mencari kebahagiaan pada hujung minggu. Saya dapat makan makanan yang dimasak oleh saudara-mara saya, termasuk ikan tongkol goreng  dan sayur-sayuran – makanan yang sehingga kini menjadi kegemaran saya.

Kampung Dagang mempunyai sejarah yang tersendiri dan meninggalkan kesan nostalgia  setiap kali saya berkunjung ke Miri.

Hanya tinggal kenangan

Namun, kini, kampung itu sudah tidak ada lagi. Kampung itu terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan yang pesat. Di kawasan berkenaan kini sudah berdiri megah pelbagai bangunan komersial, menempatkan bank, kedai, restoran dan pejabat syarikat korporat.

Miri kini dengan Miri lebih 30 tahun lalu sudah jauh berbeza. Miri berjaya ditransformasikan dari segi prasarana dan kemudahan.

Saya boleh katakan, Miri merupakan sebuah bandar yang dinamik dan sentiasa menggelak dengan pelbagai kegiatan.

Kali terakhir saya berada di Miri adalah menjelang pilihan raya lalu, ketika menjalankan penyelidikan berkaitan kecenderungan pengundi.

Kampung Dagang sebagai kampung setinggan kini hanya tinggal nama. Penduduk yang pernah tinggal di situ sebahagian besar dipindahkan ke Tudan.

Bagi sebuah bandar yang pesat membangun, nasib yang menimpa kampung berkenaan memang sudah dapat diduga dari awal. Sama juga dengan nasib yang menimpa kampung Melayu dan kampung setinggan lain di Kuching atau bandar lain di negara ini.

Tidak punya pilihan

Ya, sebahagian besar setinggan tidak memilih untuk tinggal di kampung atau kawasan setinggan. Mereka tidak punya pilihan.

Sebahagian besar mereka ialah golongan kelas bawah, golongan miskin dan golongan yang berpendapatan rendah. Meskipun demikian, ada segelintir yang mengambil kesempatan, dan seperti dilaporkan media, ada yang memiliki beberapa buah kereta.

Tinggal di kawasan dan perkampungan setinggan memang terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk kebakaran.

Orang malang

Golongan setinggan sebahagiannya merupakan orang yang malang. Ada daripada mereka telah memohon lot tanah daripada kerajaan.  Ada yang dijanjikan lot, tetapi ada yang dikatakan menunggu bertahun-tahun, tetapi tetap sabar menunggu.

Pihak kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan drastik untuk membantu golongan ini.  Pihak kerajaan perlu dilihat benar-benar serius dan komited untuk menyelesaikan masalah mereka. Mereka merupakan orang yang susah…

Harga rumah telah melambung tinggi di Sarawak. Sebahagian besar mereka tidak mampu hendak membeli rumah melebihi RM80,000 apatah lagi yang berharga RM150,000. Bagaimanakah mereka dapat membayar ansuran bulanan jika pendapatan kurang daripada RM500 sebulan?

Mereka bukan sahaja perlu menanggung belanja rumah, tetapi persekolahan anak-anak. Dengan kos hidup yang sentiasa melangit, kehidupan mereka terus dicengkam penderitaan. Ketika kita bercakap tentang negara berpendapatan tinggi, kita jangan lupa akan nasib yang menimpa golongan daif ini.

Pemimpin politik perlu turun ke padang  dan cuba sedaya upaya untuk membantu mereka. Susah sangatkah untuk memberi lot tanah sekankang kera kepada mereka ketika sebahagian kita  mudah mendapatkan tanah di negeri ini?  Jangan kita hanya dilihat begitu prihatin ketika menjelang pilihan raya dan berkempen. Sebagai pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu prihatin setiap masa. – Sarawakvoice.com