Sunday, June 26, 2022

Awasi Pulau Pinang malam ini, kemenangan lalu bukan jaminan yang selesa — David Usop

Secara Rawak

Mengutip tiga mata dalam “perlawanan basah” pada Rabu lalu bukan jaminan untuk bersikap selesa melayan kehadiran Pulau Pinang pada malam ini, kata ketua jurulatih Sarawak, David Usop.

Menurutnya, meski lawan berada pada kedudukan kedua tercorot dalam saingan liga, keupayaan pasukan itu mengikat pendahulu liga, JDT pada perlawanan sebelum ini, perlu dilihat sebagai peningkatan mendadak.

“Saya percaya peningkatan itu disumbangkan oleh dua pemain import baharu pasukan itu, Ranti Martins dan Jeong Seok-Min dari Korea Selatan.

“Kerana itu pada perlawanan pada malam ini kita perlu memberi perhatian kepada kelibat kedua-duanya,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, kata David lagi, para pemainnya perlu fokus dan memanfaatkan segala peluang yang terhidang.

“Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, termasuk aksi menentang Terengganu, kita beraksi dengan baik, termasuk membuat banyak umpanan ke dalam kotak penalti, namun gagal diterjemahkan dalam bentuk gol.

“Kali ini para penyerang kita perlu membaiki keadaan tersebut supaya kita boleh mencipta kemenangan,” katanya.

Menurutnya, tiga mata yang diburu dalam aksi ini amat penting untuk mengubah kedudukan pasukan ini dalam senarai carta.

“Kita telah bangkit daripada kedudukan terbawah pada penghujung pusingan pertama, dan kemenangan dalam perlawanan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kita kancah saingan.

Sementara itu, David mengesahkan dua pemain tonggak Ngap Sayot, Mohd Shahrol Saperi dan Dzulazlan Ibrahim akan kembali beraksi pada malam ini selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

“Bagaimanpun kedudukan Ramesh Lai Ban Huat sama ada  diturunkan atau tidak masih belum pasti kerana masih beliau masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan.”

Sebelum ini David menaruh harapan anak-anak buahnya pulih dan cergas segera daripada keletihan, berikutan jadual perlawanan yang terlalu ketat.

Selepas melayan Pulau Pinang dalam saingan Liga Super malam ini, skuad Ngap Sayot akan bertandang ke Terengganu untuk berhadapan dengan T-Team pada 9 Ogos, dan kembali melayan JDTII di Stadium Negeri pada 13 Ogos.

Pada 16 Ogos, skuad Ngap Sayot akan beraksi di Kedah untuk saingan Liga Super, sebelum menunggu kehadiran pasukan yang sama di Stadium Negeri pada 19 Ogos untuk aksi Piala Malaysia. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru