Friday, August 19, 2022

UNIMAS bina mikro hidro di Kampung Pa’Rampoh,  Bario

Secara Rawak

BARIO: Hasil kerjasama Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui (CREN) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Projek Mikro Hidro Kampung Pa’Ramapoh A & B dekat sini menjadi kenyataan baru-baru ini.

cren unimas-0001

Ditakrif sebagai salah satu daripada Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), inisiatif ini membolehkan penduduk kampung menikmati bekalan elektrik yang berterusan, dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada janakuasa diesel untuk menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi dan kegiatan harian mereka.

Kampung Pa’Rampuh terletak di dataran tanah tinggi Kelabit dengan aktiviti ekonomi penduduknya adalah dalam sektor pertanian terutamanya penanaman padi serta penanaman buah sitrus seperti nenas.

Oleh kerana kedudukan geografinya yang sukar dihubungi, kampung ini tidak disambung dengan bekalan elektrik secara talian grid.

Malah ia bergantung kepada sistem janakuasa diesel untuk sumber kuasanya.

Sehubungan itu, projek ini diilhamkan di atas sebidang tapak yang terletak di sebuah aliran sungai dengan sumber airnya adalah air tadahan daripada kawasan berbukit.

Projek ini siap sepenuhnya pada September 2015 dan telah beroperasi membekalkan tenaga elektrik secara percuma sehingga kini.

Sementara itu, menurut kenyataan CREN, disebabkan bentuk topografinya yang sesuai, sebuah empangan untuk menadah air yang mencukupi telah dapat dibina di kawasan ini.

Pada masa yang sama, aliran air sungai yang berterusan sepanjang tahun selain kurangnya aktiviti pembalakan di sekitar kawasan tersebut menjadikan ia sebuah tempat yang sangat berpotensi untuk sistem hidro mikro dibangunkan.

cren unimas-0000

“Pihak CREN telah menyelidik kesan daripada bentuk muka bumi tersebut, dan ia memiliki potensi yang sangat cerah untuk menjana kuasa elektrik yang lebih tinggi dari sumber tenaga semulajadi iaitu hidro, yang sedia ada.

“Kerana itulah pasukan penyelidik CREN di Fakulti Kejuruteraan UNIMAS telah memohon kepada KeTTHA untuk pembiayaan projek hidro mikro tersebut.”

Bekalan elektrik daripada sistem hidro mikro ini akan digunakan untuk kegunaan asas seperti lampu, kipas angin, peti ais berkuasa rendah, televisyen, radio dan sebagainya.

“Kini CREN juga komited membantu serta merangka beberapa program sosioekonomi untuk menggalakkan penduduk kampung menceburi bidang perniagaan berasaskan hasil hutan sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka melalui bekalan elektrik yang sedia ada.

“CREN turut menjadikan projek ini sebagai model untuk projek-projek serupa di kawasan yang lain, khususnya di pedalaman Sarawak dan bagi penduduk yang memerlukan.”

Majlis penyerahan projek ini telah disempurnakan Adun Mulu, yang juga Timbalan Speaker Dun Sarawak, Datuk Gerawat Jala baru-baru ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru