Saturday, December 3, 2022

Lelaki nyaris maut, badan lori bergesel sesama lori di Jalan Tatau-Sibu

Secara Rawak

BINTULU: Seorang lelaki Indonesia terselamat daripada maut, namun patah kaki dan tangan kirinya, setelah lori kargo yang dipandunya bergesel dengan sebuah lori dari arah bertentangan di km 51, Jalan Tatau-Sibu awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, mangsa bernasib baik kerana impak kemalangan tersebut agak teruk, dengan bahagian pintu dan sedikit bahagian hadapan lori kargo tersebut remuk.

“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.50 pagi namun pihak kita hanya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.53 pagi.

“Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota kemudian dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau.

Setibanya pasukan di lokasi sekitar 5.48 pagi, katanya, mereka mendapati mangsa dalam keadaan tersepit, dengan kaki dan tangannya cedera.

“Pasukan terpaksa menggunakan ‘telescopic rams hydraulic’ untuk mengeluarkan mangsa, sebelum diserahkan kepada pasukan paramedik yang berada di lokasi kejadian.

Kata Farhan, pemandu kedua lori kargo tersebut dan kedua-dua pemandu dan penumpang lori yang satu lagi tidak cedera. Namun impak pelanggaran menyebabkan kedua-dua lori terbabas ke tepi jalan.

“Berdasarkan siasatan awal, lori tersebut dalam perjalanan dari Kuching ke Bintulu manakala lori kargo tersebut dari arah Tatau ke Sibu.

Mangsa yang tersepit itu kemudiannya dikenal pasti sebagai Saffi, yang berasal dari Pasuran, Kalimantan.

Punca kemalangan masih disiasat. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru