Sunday, August 14, 2022

Hukuman tembak terhadap pengedar dadah, ada yang mati hanya selepas 15 minit ditembak

Secara Rawak

JAKARTA: Bayangkan detik-detik anda hendak ditembak mati oleh skuad penembak? Apakah anda fikirkan ketika itu, dan bagaimanakah perasaan anda?

Pada 29 Julai lalu, itulah yang berlaku terhadap empat banduan di Indonesia yang didapati bersalah mengedar dadah.

Bagaimana pula perasaan anda jika anda  melihat detik-detik berkenaan? Sanggupkah anda melihatnya?

Di Penjara Nusakambangan, turut menyaksikan detik-detik akhir berkenaan ialah seorang paderi.

Empat orang banduan ditembak mati oleh skuad penembak tengah malam waktu tempatan ketika hujan lebat di penjara Nusa Kembangan, lokasi banduan berdepan hukuman mati ditempatkan.

Charles Burrows, wakil agama Kristian, mengongsikan pengalamannya melalui detik-detik traumatik dan dramatik itu seperti dipetik abc.net.au.

Paderi yang tinggal di Cilacap, tidak jauh dari penjara berkenaan menyifatkan adegan itu sukar digambarkan dengan kata-kata, terutamanya apabila melihat penderitaan yang diharungi banduan sebelum nyawa mereka tercabut.

Katanya, pertama kali menyaksikan hukuman, ia sekitar tujuh hingga lapan minit untuk pesalah menghembuskan nafas terakhir.

Namun, akuinya ada beberapa kes sehingga 15 minit, tetapi mereka masih tidak mati, tidak menghembuskan nafas terakhir.

Mereka melalui detik kesengsaraan yang sukar dilukiskan dengan kata-kata.

“Kapten terpaksa menunggu bersama pistol dan menembak di bahagian otak,” ujarnya.

Mengakui pengalaman berkenaan sebagai begitu traumatik, beliau berkata, banduan diikat di tiang dengan mata diikat dengan kain hitam berdepan skuad penembak.

Namun, pada April tahun lalu, kesemua banduan dilaporkan enggan mata mereka ditutup dan turut menyanyikan lagu ‘Amazing Grace’ semasa mereka dibawa ke dalam hutan untuk berhadapan dengan skuad tembak.

Apabila menjelang tengah malam, sekumpulan penyokong dikatakan menangis sambil menyanyikan lagu, berpelukan antara satu sama lain dan memegang lilin serta berjaga sepanjang malam di pelabuhan Cilacap, iaitu pintu masuk ke pulau yang menempatkan penjara di Nusakambangan.

Meskipun menerima bantahan daripada beberapa pihak antarabangsa termasuk Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, namun hukuman berkenaan tetap diteruskan.

Empat pesalah terbabit adalah ‘raja dadah’, Freddy Budiman, warga Indonesia dan tiga warga Nigeria, Seck Osmane, Michael Titus dan Humphrey Jefferson.

Selain skuad penembak khas, individu lain yang turut bersama banduan sebelum hukuman dijatuhkan adalah beberapa wakil agama untuk menenangkan dan berdoa bersama banduan.

Jelas Burrows, setiap wakil agama ditugaskan untuk menemani pesalah di lokasi tembak kerana mereka tidak mempunyai masa untuk bercakap semasa di dalam penjara.

“Itu adalah satu pengalaman menakutkan,” katanya.

Katanya, banduan akan ditembak secepat mungkin.

Burrows berkata, kesemua banduan ‘seolah-olah’ ditutup mata dan kekal bermaruah sehingga saat akhir mereka menghembuskan nafas.

“Terdapat banyak kemarahan sejak hukuman (mati) dijalankan, bukan malam itu sahaja,” ujarnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru